Shafie Apdal Terasa Bahang Isu Keluar Parti, Kata Jeffrey Kitingan

Jeffrey Kitingan berkata Shafie Apdal bercakap seperti gangster berhubung isu keluar parti.

PETALING JAYA: Ketua menteri Sabah didakwa bercakap “seperti gangster jalanan” kerana membuat ugutan terhadap pesaing politiknya berkait desas-desus bahawa sebilangan rakan kongsi politiknya akan beralih ke parti lain.

Presiden STAR dan pembangkang Sabah Jeffrey Kitingan berkata, tidak wajar bagi Shafie Apdal sebagai presiden parti kerajaan Warisan bercakap “seperti gangster jalanan dengan membuat ugutan dan memberi amaran dalam usaha menakut-nakutkan penentangnya.”

Kitingan menjangkakan Shafie berasa tertekan apabila membuat kenyataan sedemikian ketika ditanya mengenai kemungkinan beberapa wakil rakyat meninggalkan gabungan politik antara Warisan-DAP-PKR dan Upko.

“Kenapa beliau begitu marah dan kecewa sekiranya mereka perlu berdiri teguh menyokong beliau? Lebih penting, apakah keperluan mengadakan majlis menunjukkan sokongan dan perpaduan sekiranya gabungan itu kukuh?”, katanya dalam satu kenyataan.

Pada Khamis, Shafie membuat kenyataan keras sebagai amaran yang ditujukan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) berhubung “tekanan politik” yang dikenakan terhadap wakil rakyat dari Sabah.

Shafie berikrar untuk tidak tunduk dalam menghadapi “rancangan besar” PN untuk meyakinkan Adun dan ahli Parlimennya supaya menyertai pakatan itu.

Beliau berkata, rancangan besar itu melibatkan janji berkaitan kedudukan dan perolehan wang, sekiranya mereka menyertai pesaing politiknya itu.

Katanya, seorang ahli Parlimen beliau, iaitu Mohammadin Ketapi (Silam) dihubungi oleh bekas menteri pusat, Anifah Aman 3 kali supaya meninggalkan parti.

Kitingan bagaimanapun berkata, Shafie sebelum ini menarik Adun dan ahli Parlimen BN supaya berpaling tadah dan menjatuhkan kerajaan negeri.

Justeru kerananya, beliau bimbang berhubung cakap-cakap mengenai ahli Parlimen Warisan pula yang akan berpaling arah.

Selepas pilihan raya umum 2018, BN berjaya membentuk kerajaan negeri apabila Parti Solidariti Tanah Airku yang mempunyai 2 kerusi menyokong BN, sekali gus memutuskan hubungan dengan gabungan Warisan-PH di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang mempunyai 60 kerusi.

Bagaimanapun keputusan keluar parti beberapa orang Adun Umno dan Upko selepas itu memberikan Shafie majoriti mudah.

Shafie hipokrit kerana persoal siasatan SPRM ke atas Peter Anthony

Kitingan juga mengkritik Shafie kerana mempersoalkan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan naib presiden Warisan Peter Anthony berkait siasatan kes pengubahan wang.

Anthony merupakan menrteri pembangunan infrastruktur negeri.

Kitingan berkata, ingatan Shafie berpilih-pilih berhubung pemimpin sebelum beliau, iaitu Musa Aman, yang berdepan pertuduhan rasuah selepas PH berjaya merebut kuasa, walaupun kes itu dilepaskan oleh pihak berkuasa Hong Kong dan negara ini sebelum itu.

Terdahulu minggu ini, Pejabat Peguam Negara menarik balik 46 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang terhadap Musa, yang kemudiannya dibebaskan dan dilepaskan.

Kitingan berkata, orang ramai tidak harus lupa bahawa pertuduhan terhadap Musa dibuat dalam sekelip mata sama seperti tindakan pendakwaan menarik semula pertuduhan rasuah terhadap Shafie, yang membabitkan peruntukan kerajaan sebanyak RM1.5 bilion sewaktu beliau menjadi menteri pembangunan luar bandar di bawah BN.

“Shafie tidak harus berpura-pura kerana beliau tidak layak bercakap mengenai keburukan perbuatan menjanjikan jawatan, suapan kewangan dan ugutan politik. Shafie sangat hipokrit untuk bercakap mengenai nilai dan harga diri seumpama itu,” katantya. – FreeMalaysiaToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *