Penghantaran PTI Di Sabah Perlu Jangka Masa Lama – KDN

Hamzah menjelaskan situasi PTI di Sabah ketika dalam sidang media berkenaan.

KOTA KINABALU: Usaha menghantar balik pendatang tanpa izin (PTI) di Sabah memerlukan satu tempoh yang lama untuk diselesaikan memandangkan ramai diantara mereka tidak mempunyai dokumen sah dari negara asal masing-masing.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, disebabkan PTI tidak mempunyai dokuman, kerajaan Malaysia perlu berbincang dengan negara asal mereka seperti Filipina, Indonesia, Pakistan, China dan sebagainya.

“Mereka tidak ada dokumen, jadi betul kah mereka ini orang Filipina atau mereka ini orang Sabah?…itu juga satu cabaran atau masalah kepada kita. Perkara yang sama dengan PTI dari negara Indonesia dan sebagainya.

“Jadi perkara ini perlu mengambil masa yang panjang untuk menentukan bahawa segala ini boleh dilakukan bersama.

“Dalam tempoh berkenaan, mereka (PTI) yang ada di Sabah akan kita tangkap agar rakyat di sini selesa dengan tidak ada persepsi bahawa terdapat PTI sewenang-wenangnya berjalan tanpa dokuman atau bekerja yang sepatutnya kerja-kerja itu boleh dilakukan oleh orang tempatan di seluruh Sabah.

“Masalah sosial yang timbul juga perlu diselesaikan dengan baik,” katanya dalam sidang media ketika mengadakan lawatan kerja ke Bangunan Pentadbiran, Pusat Tahanan Sementara di sini.

Beliau berkata, perkara itu sudah dibincangkan dengan para pegawai dikesemua agensi dibawah Kementerian Dalam Negeri (KDN). Selepas mendapat data tepat keseluruhan, satu perbincangan akan diadakan dengan Kerajaan Sabah.

Katanya, masalah PTI bukan baharu di Sabah dan ia boleh dijejaki sejak awal tahun 1980an. Banyak strategi dilakukan negara ini untuk selesaikan masalah itu.

“Strategi pertama dahulu ialah kerajaan Malaysia mendaftarkan mereka sebagai pendatang asing dalam negara.

“Contohnya pada 70an, Jabatan Imigresen Malaysia telah merekodkan pelarian perang dari Filipina ke Sabah, dokumen HIF22 dikeluarkan.

“Sampai satu ketika disebabkan ramai yang masuk, Kerajaan Negeri ketika itu mengeluarkan Kad Burung-Burung dari tahun 1970 sehingga 2000,” katanya.

Beliau berkata, strategi selepas itu adalah memastikan tidak ada lagi sebarang kad dikeluarkan kepada PTI dan sijil bancian dikeluarkan diantara tahun 1990 sehingga 1991 oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Katanya, disebabkan terlalu banyak dokumen, Kerajaan Malaysia mahu betulkan bahawa satu kad sahaja boleh digunakan dan membatalkan dokumen asal yang lain.

“Oleh itu IMM13 dikeluarkan, kita mahu pastikan mereka ini adalah PTI dan boleh berhubung dengan kedutaan negara masing-masing untuk menyediakan dokumen sah kepada rakyat mereka untuk bekerja di sini dengan taraf warganegara asing.

“Ianya seperti orang Malaysia mahu bekerja di Singapura, inilah strategi kita yang perlu dilakukan,” katanya.

Katanya, dalam perbincangan terdapat lebih kurang 136,000 PTI yang mempunyai pelbagai dokumen seumpamanya dalam negara ini.

Menurutnya, kesemua PTI itu akan dipanggil dan pastikan kedutaan negara asal mereka memberikan dokumen khas atau pasport bagi menentukan mereka itu adalah warga asing di sini.

Katanya, selepas mengadakan lawatan ke Pusat Tahanan Sementara di seluruh Sabah, terdapat kira-kira 7,000 tahanan kesemuanya.

Katanya, jumlah itu akan menyumbangkan kos yang besar dari segi perbelanjaan makanan, minuman, tempat tinggal serta kebajikan lain.

“Kalau boleh kita mahu kosongkan kesemua pusat tahanan sementara ini,  tapi masalahnya kita perlu berbincang dengan negara berkaitan seperti Filipina, Indonesia, Pakistan, China dan lain-lain negara,” katanya. – Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *