KDN Cadang Hanya Guna IMM13 Untuk Seragamkan Dokumen Warga Asing Di Sabah

KOTA KINABALU, 14 Jun: Kementerian Dalam Negeri (KDN) bercadang menyeragamkan dokumen warga asing dari Filipina di Sabah dengan hanya menggunakan satu dokumen sahaja iaitu IMM13 sebagai antara strategi untuk memudahkan mengenal pasti pendatang asing tanpa izin (PATI) dari negara itu.

Menterinya Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata kerajaan tidak akan mengeluarkan sebarang dokumen baharu kepada golongan itu, sebaliknya melihat untuk menggunakan satu dokumen sedia ada bagi mengelakkan sebarang kekeliruan.

“Tidak (akan keluarkan dokumen baharu)… Kita ada IMM13… Buat masa kini itulah satu-satunya yang akan kita pakai (guna hanya satu dokumen),” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Pusat Tahanan Sementara Manggatal di sini, hari ini.

IMM13 adalah antara dokumen dikeluarkan kepada warganegara Filipina berstatus pelarian, selain beberapa dokumen lain seperti Sijil Banci dikeluarkan ketika program pemutihan Pasukan Petugas Khas Persekutuan dan Kad Burung-Burung dikeluarkan pada 1970 hingga 1990-an.

Mengulas lanjut, Hamzah berkata, penggunaan hanya satu dokumen sahaja seperti IMM13 itu juga bagi melancarkan urusan penghantaran pulang golongan berkenaan ke negara asal mereka.

Untuk rekod, Hamzah berkata, terdapat kira-kira 136,000 pemegang dokumen IMM13, Sijil Banci dan Kad Burung-Burung.

“Kerajaan merasakan kenapa perlu banyak (pelbagai) dokumen (diberikan) kepada warga asing. Oleh itu, kita nak memperbetulkan supaya hanya tinggal satu kad sahaja boleh digunakan dan selebihnya dibatalkan.

“Ini adalah strategi untuk membolehkan kawal selia dibuat (dan kemudian) kita boleh menghubungi kedutaan negara terlibat bagi memaklumkan tentang rakyat mereka (di Sabah) agar diberikan dokumen yang betul.

“Jika mereka (warga asing) dapat memiliki dokumen yang betul, mereka boleh bekerja di sini di negara kita tetapi bertaraf warganegara asing seperti pekerja asing yang berdaftar,” katanya.

Dalam pada itu, Hamzah berkata, kementeriannya berhasrat untuk menghantar kesemua kira-kira 7,000 PATI yang berada di Pusat Tahanan Sementara (PTS) seluruh Sabah memandangkan kerajaan terpaksa memperuntukkan perbelanjaan besar bagi menguruskan golongan itu.

Bagaimanapun, KDN akan menyelesaikan perkara itu secara berperingkat-peringkat termasuk mengadakan perbincangan bersama kerajaan negeri Sabah bagi menangani isu berkenaan setelah mendapat maklumat lengkap berhubung perkara itu, katanya.

Rakyat Sabah juga diminta memberi kerjasama kepada agensi di bawah KDN dalam usaha mengatasi kebanjiran PATI di negeri ini, katanya.- BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *