KDN Akan Seragamkan Dokumen Warga Asing Di Sabah

Sebahagian pendatang asing warga Indonesia diusir pulang melalui Terminal Feri Tawau, Februari lalu.  – Foto MKN

KOTA KINABALU: Kementerian Dalam Negeri akan menyeragamkan dokumen pengenalan diri warga asing untuk memudahkan proses mengenal pasti pendatang haram di Sabah.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata beberapa dokumen yang diberikan kepada warga asing menyukarkan penguat kuasa menjejak mereka yang tidak mempunyai dokumen.

Datuk Seri Hamzah ketika melakukan pemantauan di PTS Manggatal, Kota Kinabalu

“Kita rasa terlalu banyak dokumen daripada HIF22, Kad Burung-Burung dan kemudian Sijil Banci. Jadi, kita mahu perbetulkan supaya hanya tinggal satu dokumen sahaja digunakan dan selebihnya itu dibatalkan.

“Ini strategi kita bagi memastikan mereka yang diberikan kad IMM13 untuk kita membuat regularisasi supaya kita tahu mereka pendatang asing.

“Jadi kita boleh menghubungi kedutaan negara yang terlibat untuk maklumkan agar mereka diberikan dokumen sah.

“Jika mereka mempunyai dokumen, mereka boleh berada di negara kita dengan bertaraf sebagai warganegara asing,” katanya.

Beliau berkata sedemikian selepas lawatan ke Pusat Tahanan Sementara Kota Kinabalu.

Turut hadir Timbalan Menteri Dalam Negeri II, Jonathan Yassin, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Jamil Rakon dan Timbalan Ketua Setiausaha Keselamatan Kementerian Dalam Negeri, Yusran Shah Mohd Yusof.

Hamzah berkata, seramai 136,000 warga asing ada dokumen sah di Sabah.

“Ada yang pakai dokumen IMM13, Sijil Banci dan Kad Burung-Burung. Bagi mereka yang ada pasport, kita tentukan mereka duduk di sini sebagai warga asing.

“Kita akan selesaikan masalah ini terlebih dahulu dan kemudian kita akan ambil langkah seterusnya atau strategi kedua untuk memastikan kita dapat seimbangkan dengan mereka yang mempunyai dokumen sah,” katanya. – Berita Harian

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *