WARISAN Tidak Gentar Jika Pilihan Raya Mengejut Diadakan

Foto Facebook Terrence A Siambun

PENAMPANG : Parti Warisan Sabah (Warisan) tidak sedikit pun gentar untuk berdepan dengan UMNO dan Perikatan Nasional (PN) sekiranya pilihan raya mengejut terpaksa diadakan bagi menyelesaikan kemelut politik negara.

Bendahari Agung Warisan, Terrence Siambun berkata, gabungan kukuh antara Warisan, Pakatan Harapan (PH) dan UPKO akan menjadi kunci kejayaan PH Plus bagi melindungi demokrasi serta menegakkan semula martabat Sabahan di peringkat Persekutuan.

“Asas kerjasama dan persefahaman antara PH Plus telah dikuatkan melalui pelbagai ujian sejak hari pertama Warisan dibentuk, dan ini menimbulkan semangat perpaduan, kerja sepasukan serta kesetiaan antara pemimpin dalam pakatan ini.

“Semua pemimpin Sabah dalam PH Plus mempunyai satu cita-cita iaitu kuasa autonomi untuk mengurus negeri dan pada masa sama menjadi penyumbang utama kepada pembangunan Malaysia sebagai rakaj kongsi kepada Semenanjung.

“Ini telah diterima oleh pemimpin Sabah dalam PH Plus apabila lima pemimpin Warisan diberi peluang berkhidmat untuk negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) seperti dilaporkan media sebelum ini memaklumkan bersedia jika pilihan raya perlu dilakukan.

Terrence berkata, PN yang baru ditubuhkan Februari lalu adalah gabungan yang lemah dan hanya mempunyai satu agenda iaitu membolehkan UMNO dan Pas merampas Kerajaan Persekutuan daripada PH Plus.

Katanya, parti-parti kecil dari Sabah seperti Solidariti Tanah Airku (Star) pula dijemput semata-mata mengaburi mata rakyat kononnya untuk membentuk diversiti sedangkan semua pihak tahu siapa sebenarnya yang berkuasa.

Tegasnya, tiada sebab rakyat Sabah harus takutkan UMNO walaupun parti itu mendapat kembali kuasa di Putrajaya.

“PRU-14 adalah yang paling sukar kerana bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melalui UMNO melakukan segala-galanya untuk kekal berkuasa manakala di Sabah, Warisan juga berdepan dengan blok ketiga iaitu Star, SAPP dan lain-lain yang menyebabkan kawasan KDM berpecah bagi mengelakkan Warisan menang.

“Disebabkan blok ketiga ini telah menunjukkan wajah sebenar mereka dengan menyokong UMNO, maka saya yakin hanya pertembungan satu lawan satu antara PH Plus dan PN yang pasti mencerahkan peluang Warisan memenangi kerusi KDM,” katanya.

Menurut Terrence, pengundi Sabah pasti sudah muak dengan tempoh 23 tahun pemerintahan UMNO yang penuh dengan diskriminasi dan manipulasi.

Beliau berkata, berhubung kedudukan Sabah sebagai negeri termiskin yang dilaporkan Bank Dunia, amat menyedihkan apabila pemimpin politik yang sebelum ini mendakwa semua itu berpunca daripada UMNO kini sebaliknya terdesak menghidupkan semula UMNO.

Tegasnya, kini pemimpin-pemimpin ini berterusan cuba mengelirukan rakyat kononnya Warisan adalah parti mesra pendatang asing tanpa izin (PATI).

“Di mana martabat kita sebagai Sabahan jika kita bekerjasama balik dengan parti sama yang sebelum ini sangat kejam?

“Orang-orang itu tidak akan memahami bagaimana Sabahan dicemuh kerana mereka tidak pernah merasai perasaan malu dialami rakyat Sabah yang bekerja dalam organisasi korporat seluruh negara.

“Kita hampir hilang martabat dan maruah sebagai Sabahan kalau bukan disebabkan Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal yang teguh mempertahankan kerjasama Warisan dengan PH walaupun dijemput menyertai PN oleh sahabat lamanya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Perjuangan berprinsip Mohd. Shafie untuk tidak bekerja dengan UMNO pasti mendapat pertimbangan pengundi Sabah,” katanya.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *