WARISAN Tiada Masalah Berdepan Dengan PN & UMNO – Siambun

Terrence Siambun

PENAMPANG : Parti Warisan Sabah yakin mereka tidak akan menghadapi masalah bersemuka dengan Umno Sabah dan Perikatan Nasional (PN) jika pilihan raya mengejut diadakan untuk menyelesaikan pelbagai kemelut politik yang melanda negara sekarang.

Bendahari Agung Parti Warisan Sabah, Terrence Siambun berkata, hubungan yang utuh di antara Warisan, Pakatan Harapan (PH) dan Upko adalah kunci kepada kemenangan PH Plus, ditambah dengan kesinambungan untuk melindungi demokrasi serta maruah penduduk Sabah di peringkat persekutuan.

“Asas kepada kerjasama dan persefahaman yang mantap di antara PH Plus diperkukuhkan melalui pelbagai ujian dan cabaran yang dihadapi sejak hari pertama Warisan ditubuhkan dan ini mewujudkan rasa perpaduan, kerja berpasukan dan kesetiaan di kalangan semua pemimpin dalam gabungan ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Semua pemimpin Sabah PH Plus katanya, beraspirasi untuk melakukan perkara yang sama iaitu mendapatkan autonomi penuh untuk mengurus negeri dan pada masa yang sama, memainkan peranan untuk menjadi penyumbang utama kepada pembangunan Malaysia selari dengan Sabah sebagai rakan setara dalam persekutuan.

Beliau menambah bahawa, gagasan ini diterima oleh para pemimpin PH Plus di Malaysia Barat ketika lima pemimpin Warisan diberi peluang untuk berkhidmat dalam kementerian Malaysia.

Sebelum ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberi laporan seperti yang dinyatakan oleh beberapa media sebagai berkata, ia bersedia untuk mengadakan pilihan raya mengejut pada bila-bila masa jika diarah berbuat demikian.

Menurut Siambun, PN adalah gabungan lemah yang dibentuk pada Februari tahun ini dengan satu-satunya agenda iaitu untuk membantu Umno dan rakan-rakannya dalam Muafakat Nasional (MN), PAS untuk merebut Kerajaan Persekutuan daripada PH Plus, sementara parti-parti kecil lain dari Sabah seperti Star diundang semata-mata untuk menunjukkan apa yang disebut sebagai ‘kepelbagaian’ dalam PN, tetapi semua tahu siapa yang mengawal sepenuhnya di sana.

Katanya, tidak ada alasan bagi rakyat Sabah untuk takut kepada Umno walaupun parti itu nanti kembali berkuasa di peringkat persekutuan.

“PRU14 adalah pilihan raya yang paling sukar dan paling banyak tipu muslihat kerana mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mendorong Umno hingga ke tahap maksimum untuk memastikan beliau mengekalkan kuasanya.”

“Di Sabah pula, kita mempunyai apa yang disebut sebagai Kuasa Ketiga atau blok ketiga yang terdiri daripada parti Star, SAPP dan lain-lain yang menyebabkan perpecahan undi di kawasan komuniti KDM hingga menghalang Warisan memenangi kerusi berkenaan,” katanya.

Siambun berkata, oleh kerana ‘Kuasa Ketiga’ ini sudah menunjukkan warna sebenarnya dengan menyokong Umno, beliau rasa ini akan menjadi pertarungan secara langsung di antara PH Plus dan PN dan ini baik bagi mereka kerana peluang untuk merebut kerusi KDM kini menjadi lebih cerah.

Dalam konteks ini, Siambun yakin pengundi Sabah tidak mahu kembali kepada tempoh 23 tahun pemerintahan penuh diskriminasi dan manipulasi oleh pemimpin parti Umno, sehingga Sabah diisytiharkan sebagai negara termiskin oleh Bank Dunia.

Katanya, ini menyedihkan kerana beberapa pemimpin politik Sabah yang oportunis yang sebelum ini mendakwa bahawa Umno adalah penyebab kepada semua penderitaan di Sabah, kini terdesak untuk menghidupkan kembali Umno dengan memberi pelbagai alasan.

Dan mereka terus-menerus menyesat dan memberi maklumat yang salah kepada rakyat Sabah dengan menuduh Warisan sebagai pro-PTI (pendatang tanpa izin) dan sebagainya, tambahnya.

“Di manakah maruah dan rasa bangga kita sebagai rakyat Sabah apabila kita memutuskan untuk bekerjasama dengan parti yang sama yang sebelum ini kita jahanamkan?

“Mereka ini tidak akan sedar bagaimana orang-orang Sabah kini menjadi bahan ketawa kerana mereka tidak akan pernah berasa malu seperti mana perasaan rakyat Sabah yang bekerja di organisasi korporat di seluruh Malaysia,” tegasnya.

Menurut Siambun, mereka hampir kehilangan semua maruah dan harga diri sebagai rakyat Sabah jika tidak kerana prinsip Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal yang berdiri tanpa berganjak dalam menghormati persefahaman politik di antara Warisan dan PH, walaupun pada hakikatnya beliau telah diajak oleh rakan lama yang juga rakan karibnya, Tan Sri Muhyiddin Yasin untuk bergabung dengan PN.

Prinsip Shafie untuk menolak bekerja dengan Umno akan dipertimbangkan oleh pengundi Sabah nanti, katanya.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *