Kes Kematian Akibat COVID-19 Di Keningau Berlaku Di Rumah

KOTA KINABALU: Kes kematian Covid-19 keenam Sabah yang dilaporkan di Keningau semalam melibatkan wanita berumur 85 tahun yang meninggal dunia di rumahnya sebelum dibawa ke Hospital Keningau pada 11 Mei lalu.

Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr Christina Rundi berkata, punca jangkitan bagi kes ini masih dalam siasatan Pejabat Kesihatan Kawasan Keningau.

Dengan pengesanan kes ini, sebanyak 356 kes Covid-19 dikesan di Sabah setakat ini dengan enam kematian dilaporkan.

Sehingga kini, enam kes aktif dilaporkan di Sabah dengan 341 kes yang telah pulih.

Menurutnya, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) mendapati ramai kes yang dikesan di Sabah tidak mempunyai sebarang gejala atau ada yang mempunyai gejala ringan yang tidak mendorong penghidapnya untuk mendapatkan rawatan di klinik kesihatan.

“Situasi ini menyukarkan pengesanan kes Covid-19 dalam komuniti. Untuk mengekang penularan jangkitan, JKNS turut mempergiatkan atkviti saringan bersasar seperti saringan dalam kalangan mereka yang bekerja di tempat tumpuan awam seperti peniaga mahupun petugas kaunter.

“Aktiviti bersasar ini akan diteruskan ke atas warga emas dan mereka yang berisiko tinggi di lokaliti-lokaliti yang dikenal pasti.

“Saringan turut dibuat terhadap individu yang dimasukkan ke hospital dan ke atas semua kematian yang berlaku di luar hospital,” katanya dalam satu kenyataan, di sini semalam.

Christina sekali lagi mengingatkan orang ramai bahawa wabak Covid-19 belum berakhir maka, orang ramai perlu menilai risiko mereka sendiri dan mengambil langkah-langkah pencegahan bagi mengurangkan risiko jangkitan.

Mengenai pematuhan prosedur operasi standard (SOP), sebuah restoran di Ranau diarah tutup dalam Operasi Bersepadu Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) setelah pemeriksaan dilakukan ke atas 647 premis.

Christina berkata, Pejabat Kesihatan Kawasan Tuaran turut melakukan saringan ke atas 85 individu yang terkandas di Selatan Filipina yang dibawa pulang oleh pihak TUDM melalui Misi Repartriasi Rakyat Malaysia.

Kesemua individu ini sedang menjalani perintah kuarantin selama 14 hari di Pusat Kuarantin yang diwartakan.

Setakat nini 645 orang masih menjalani kuarantin di 33 buah pusat kuarantin seluruh Sabah. Bilangan kumulatif orang yang tamat menjalani kuarantin di pusat kuarantin adalah seramai 12,492 orang.

Individu yang menjalani kuarantin selama 14 hari di rumah adalah seramai 2,777 orang dan bilangan kumulatif individu yang tamat menjalani kuarantin adalah seramai 43,802 orang.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *