Keluarga Tampil Jelaskan Kecederaan Sebenar Mangsa Kemalangan Di Tawau

Mangsa sebelum pembedahan.

TAWAU: Keluarga seorang lelaki, Awang Mohd. Fadhil Said, 26, tampil memberi penjelasan tentang kecederaan sebenar yang dihadapi mangsa selepas terbabit dalam satu kemalangan di Jalan Apas, Selasa lalu.

Azizi Arshad, 33, berkata, berlaku salah faham apabila laporan awal polis mengesahkan mangsa hanya cedera ringan, sebaliknya Awang sebenarnya mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian badan.

Status yang dimuatnaik keluarga mangsa di laman sosial Facebook.

“Menurut doktor, mangsa mengalami patah tulang paha kanan sehingga terpaksa dimasukkan besi.

“Selain itu, pembedahan turut dilakukan pada tangan kiri selepas bahagian pergelangan patah,” katanya ketika ditemui wartawan, hari ini.

Selasa lalu, Awang ditemukan terbaring di tepi jalan selepas motosikal yang ditunggangnya dirempuh sebuah kereta jenis Avanza, yang dipandu seorang lelaki berumur 76 tahundi Batu 3, Jalan Apas, pada jam 6.45 pagi.

Difahamkan mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah selepas mengeluarkan wang dari bank, sebelum bergerak menuju ke tempat kerja di Apas Parit.

Bagaimanapun, berdasarkan laporan awal polis, mangsa dikatakan hanya mengalami cedera ringan dan kes disiasat di bawah Kaedah 3(2)(B) LN 166/59.

Menurut Azizi, mereka sekeluarga terkejut apabila membaca laporan media bahawa mangsa hanya cedera ringan.

Gambar kemalangan ketika hari kejadian.

“Mungkin berlaku salah faham, memandangkan mangsa terpaksa dibedah lebih 8 jam, selain patah pada tulang paha dan pergelangan tangan.

“Justeru, kami membuat satu lagi laporan polis untuk memaklumkan kecederaan sebenar mangsa,” katanya.

Dalam masa sama, Azizi menjelaskan beberapa barangan peribadi Awang turut hilang dipercayai dilarikan individu tidak dikenali ketika kejadian.

“Sebelum kejadian, adik mangsa ada memintanya mengeluarkan wang gaji sebanyak RM500 untuk diberikan kepada ibu mereka.

“Justeru, mangsa ke bank awal pagi berkenaan untuk mengeluarkan duit adiknya selain dipercayai ada wang tunai milik Awang sendiri untuk perbelanjaan harian,” katanya.

Malangnya menurut Azizi, tiada wang tunai dijumpai pada Awang, selain beg yang turut berisi dua telefon bimbit dan dokumen peribadi miliknya turut hilang.

“Semalam Awang mula sedarkan diri, namun masih dalam keadaan lemah dipercayai mengalami trauma akibat kemalangan tersebut,” katanya.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *