Filipina Dilanda Gempa Bumi Ketika Perangi COVID-19

MANILA: Jangkitan COVID-19 di Filipina melonjak kepada 25,392 kes selepas Jabatan Kesihatan (DOH) melaporkan 607 lagi kes baharu hari ini.

DOH dalam buletinnya memaklumkan dua kes bertindih sudah pun dikeluarkan daripada keseluruhan 24,787 kes yang dilaporkan semalam.

“Jumlah kes yang dilaporkan tertakluk kepada perubahan kerana angka itu sedang melalui pembersihan dan pengesahan berterusan,” katanya.

DOH turut memaklumkan, jumlah kes yang pulih meningkat kepada 5,706 orang selepas 252 lagi pesakit sembuh daripada penyakit berkenaan.

Jumlah kematian pula meningkat kepada 1,074 kes selepas 22 lagi kematian dicatatkan akibat virus itu.

Menurut DOH, 288 kes harian yang dilaporkan adalah di Metro Manila, 85 kes di wilayah Central Visayas di tengah Filipina, manakala 234 kes dilaporkan di bahagian lain negara itu.

Sementara itu, awal pagi semalam, Institut Vulnakologi dan Seismologi Filipina (PHIVOLCS) memaklumkan gempa bumi dengan magnitud lima pada skala Richter menggegarkan Wilayah Oriental Davao di selatan Filipina.

Institut itu berkata, gempa bumi itu, yang melanda pada jam 10.11 pagi waktu tempatan, berlaku pada kedalaman 10 kilometer (km), kira-kira 136 km dari tenggara bandar Governor Generoso.

Katanya, gempa terbabit, yang secara asalnya tektonik, akan mencetuskan gempa susulan, namun tidak akan menyebabkan kemusnahan.

Filipina sering mengalami aktiviti gegaran kerana kedudukannya yang terletak di sepanjang ‘Lingkaran Api Pasifik’.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *