COVID-19: Brazil Catat Kes Kematian Kedua Tertinggi Di Dunia

Pemandangan udara menunjukkan kawasan baharu (kanan) dibersihkan bagi menampung peningkatan kes kematian akibat COVID-19 di Tanah Perkuburan Nossa Senhora Aperecida di Manaus, Brazil. – Foto AFP

RIO DE JANEIRO: Brazil mengatasi Britain dengan mencatatkan kes kematian kedua tertinggi di dunia semalam, iaitu seramai 41,828 orang meninggal dunia akibat COVID-19 , menurut data Kementerian Kesihatannya.

Negara dengan populasi penduduk berjumlah 212 juta itu merekodkan 909 kematian dalam tempoh 24 jam lalu.

Setakat ini 828,810 penduduk negara ituu disahkan positif jangkitan wabak pandemik berkenaan.

Bagaimanapun, menurut pakar, jumlah sebenar kes COVID-19 di Brazil dijangka 10 atau 15 kali lebih tinggi berbanding data dikeluarkan oleh pihak kementerian.

Selepas lebih tiga bulan Brazil mengesan kes pertama COVID-19, wabak itu dilihat semakin sukar dikawal, walapun beberapa bandar besar seperti Sao Paulo dan Rio de Janeiro sudah mula membuka semula kegiatan ekonomi.

Sao Paulo, negeri di tenggara Brazil dengan hampir 46 juta penduduk, mengesahkan 167,900 orang disahkan positif dan turut mencatatkan kematian tertinggi setakat ini iaitu sebanyak 10,368 kes.

Sementara itu, di Rio de Janeiro, sebanyak 7,417 kematian direkodkan dengan hampir 78,000 kes positif COVID-19.

Untuk rekod, Amerika Syarikat masih kekal dengan kes kematian dan positif COVID-19 tertinggi di dunia setakat ini, manakala Britain merekodkan 41,481 kes kematian membabitkan COVID-19.

Dalam perkembangan berkaitan, Chile merekodkan angka kematian harian terburuk semalam, dengan 222 kes dan lebih daripada 6,700 jangkitan baharu dalam tempoh 24 jam lalu, menurut pihak berkuasanya.

“Angka COVID-19 di negara kita terus meningkat, terutamanya di wilayah metropolitan,” kata jurucakap rasmi Kementerian Kesihatan, Arturo Zuniga.

Jangkitan terus meningkat di negara Amerika Latin itu walaupun ibu negaranya, Santiago yang menempatkan tujuh juta penduduk menguatkuasakan perintah berkurung sejak empat minggu lalu.

Semalam, kerajaan Chile turut mengeluarkan perintah kuarantin ke atas dua bandar di negara itu, Valparaiso dan Vina del Mar, termasuk beberapa bandar berdekatan.

Ini bermakna, hampir separuh daripada populasi penduduk di Chile berjumlah 18 juta orang sedang melalui perintah kawalan pergerakan.

Setakat semalam, Chile mengesahkan lebih daripada 160,000 jangkitan dengan 2,870 kematian.

Pihak berkuasa kesihatan negara itu berkata, perkhidmatan kecemasan beroperasi dengan kapasiti maksimum bagi memerangi penularan wabak berkenaan.

Zuniga turut berkata, setakat semalam, 1,391 pesakit memerlukan alat bantuan pernafasan dengan 373 daripadanya dilaporkan sedang kritikal. –AFP

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *