Covid-19: 43 Kes Baharu, 1 Jangkitan Ketika Kunjungan Aidilfitri

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah

PUTRAJAYA: Jangkitan baharu Covid-19 dalam negara merekodkan 43 kes hari ini dengan satu daripadanya kes saringan kontak rapat kepada kes positif Covid-19 di Negeri Sembilan yang berlaku ketika aktiviti kunjung-mengunjung pada hari raya pertama lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 43 kes baharu yang dilaporkan itu, sebanyak lima kes import yang mendapat jangkitan di luar negara, baki 38 kes lagi berkaitan penularan tempatan.

Beliau berkata, daripada 38 kes penularan di dalam negara, 23 kes adalah bukan warganegara, manakala 15 kes adalah dalam kalangan warga Malaysia.

Katanya, susulan pertambahan kes baharu itu, jumlah kumulatif kes keseluruhan penularan wabak berkenaan dalam negara sebanyak 8,445 kes.

“Terdapat 143 kes yang pulih daripada Covid-19 dengan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya dan discaj wad sebanyak 7,311 kes, 86.57 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 membabitkan 1014 kes dan mereka sudah diasingkan serta diberi rawatan.

“Sehingga kini, hanya empat pesakit positif Covid-19 dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), tiada daripadanya memerlukan bantuan pernafasan,” katanya

Berikut perincian kes jangkitan dalam negara membabitkan 23 kes dalam kalangan bukan warganegara;

• Sebanyak 21 kes dikesan dalam kalangan penghuni Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil yang telah dipindahkan ke Akademi Imigresen Malaysia (AIM) di Port Dickson, Negeri Sembilan;

• Satu kes saringan di Pasar Pemborong Sayur oleh Pejabat Kesihatan Penampang, Sabah;

• Satu kes saringan pekerja ladang warga asing di Temerloh, Pahang.

Ini pula perincian 15 kes penularan Covid-19 dalam negara dalam kalangan warga Malaysia;

• Kuala Lumpur – satu kes survelan membabitkan kes Influenza Like Illness (ILI) di sebuah Klinik Kesihatan sentinel;

• Selangor – empat kes dengan dua kes saringan di dua pusat tahfiz, dua lagi kes saringan pasukan barisan hadapan (bukan petugas kesihatan) di Sabak Bernam;

• Negeri Sembilan – lima kes dengan tiga kes saringan pusat tahfiz di tiga pusat tahfiz; satu kes saringan penjawat awam di Seremban yang bercadang untuk pulang ke Sabah; satu kes saringan kontak rapat kepada kes positif Covid-19 (kes ke-7756) di Negeri Sembilan, kontak ketika aktiviti kunjung-mengunjung pada hari raya pertama lalu;

• Sabah – satu kes kematian di dalam komuniti yang dibawa ke hospital (kes kematian ke-120 seperti yang akan diperincikan di bawah);

• Pahang – satu kes saringan dalam komuniti di Temerloh;

• Perak – satu kes saringan pusat tahfiz;

• Melaka – dua kes dengan satu kes saringan pusat jagaan warga emas di Melaka Tengah dan satu kes saringan pusat tahfiz.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, satu kematian berkaitan jangkitan Covid-19 dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), setakat 12 tengah hari ini.

Katanya, ia menjadikan jumlah kumulatif kes kematian akibat jangkitan wabak berkenaan dalam negara ketika ini 120 kes, 1.42 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Kes kematian ke-120 (kes ke-8403) membabitkan wanita warga Malaysia berusia 96 tahun. Beliau meninggal dunia pada 12 Jun (semalam) di rumah beliau dan jenazah beliau dibawa ke Hospital Queen Elizabeth, Sabah.

“Saringan ujian Covid-19 didapati positif. Punca jangkitan bagi kes ini masih dalam siasatan,” katanya.- HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *