Kenapa Perlu Beli MP Warisan Kalau Cukup Majoriti? – Shafie

KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah (Warisan) menyindir tindakan pihak lawan yang mencanang di sana-sini bahawa mereka mempunyai majoriti yang mencukupi namun, masih ingin membeli ahli parlimen Warisan.

Presiden Warisan, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, sekiranya mereka yakin mempunyai mandat untuk mentadbir negara, kenapa mesti perlukan lebih banyak sokongan.

“Mereka sebarkan bahawa mereka mempunyai sokongan (majoriti) yang mencukupi tapi kenapa mereka mahu lebih banyak sokongan. Kenapa mahu membeli ahli parlimen Warisan?,” katanya.

Mohd Shafie berkata, disebarkan empat ahli parlimen Warisan akan melompat dan ini merupakan tekanan politik untuk memastikan mereka (pembangkang) ini kekal berkuasa. Namun, ini bukan caranya untuk mentadbir negara.

Katanya, jika perlu membuktikan sekali lagi, Warisan tidak gentar dan takut sekiranya perlu berdepan dengan Pilihan Raya Umum (PRU).

Ketua Menteri ini berkata, sekiranya mahu rakyat yang membuat keputusan, biarlah ia dilakukan melalui PRU.

Menurutnya, tekanan politik terhadap pemimpin-pemimpin Warisan tidak seharusnya dikenakan hanya kerana Warisan kini dilihat tidak bersetuju untuk bekerjasama dengan mereka di peringkat kerajaan Persekutuan.

Sejak awal lagi, kerajaan Sabah sudah menyatakan pendirian bahawa sedia bekerjasama antara kerajaan dengan kerajaan. Tetapi, sekarang lain isu yang timbul.

“Dalam negara berdepan dengan Covid-19, berlaku pula Covid politik yang cuba menjatuhkan kerajaan Sabah dengan cubaan membeli Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan ahli parlimen Warisan,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan sumbangan peralatan perubatan kepada kerajaan negeri dan sekolah-sekolah di Sabah, di sini hari ini.

Mohd Shafie berkata, dirinya mampu kekal teguh dalam karier politik sehingga hari ini disebabkan beliau berjuang menentang kleptokrasi.

Tetapi, kleptokrasi ternyata masih berlaku dengan pembebasan bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman daripada 46 pertuduhan rasuah.

Katanya, bagaimana orang yang mempunyai 46 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram dibebaskan dan pemimpin Warisan (Datuk Peter Anthony) pula yang kini dikenakan tindakan.

Biarpun tidak ingin mengulas lanjut mengenai kes yang dihadapi Naib Presiden Warisan itu, Mohd Shafie merasa hairan kerana pertuduhan itu tidak dilakukan sejak awal pemerintahan Perikatan Nasional (PN).

“Apa yang kita lihat adalah kenapa tidak dilakukan (tuduhan) dari awal. Tapi, apabila kita tidak setuju untuk bekerjasama, terus tindakan sebegitu dilakukan. Ini bukan cara untuk mendapatkan sokongan, bukan dengan cara memberi jawatan,” jelasnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, dalam siasatan ke atas Peter itu tidak nampak dimana bukti. Duit itu tidak dijumpai di rumah mahupun keretanya. Namun, jika dibandingkan dengan kehilangan duit di Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) yang bernilai ratusan juta yang memang dapat dibuktikan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Warisan akan terus mengambil langkah meneruskan tindakan yang boleh diambil terhadap Musa yang dilepas dan dibebaskan daripada kesemua pertuduhan rasuah semalam.

“Warisan tidak akan berhenti setakat itu. Tidak bererti beliau (Musa) terlepas daripada pertuduhan, kita akan akur.

“Untuk makluman, kita akan buat sesuatu kerana banyak duit yang hilang. Malah, duit JANS yang beratus juta hilang dan itu memang ada bukti,” jelasnya.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *