1,900 Taska Di Sabah Belum Dibenarkan Beroperasi

Datuk Dr Yusof Yacob

KOTA KINABALU: Sejumlah 1,900 buah taman didikan kanak-kanak (Tadika) dan taman bimbingan kanak-kanak (Tabika) di Sabah akan dibuka sebaik sahaja menerima kebenaran untuk beroperasi.

Menteri Pelajaran dan Inovasi, Datuk Dr Yusof Yacob berkata, ia melibatkan sejumlah 53,997 orang murid yang bersekolah di pelbagai Tadika dan Tabika yang dikendalikan pelbagai agensi itu.

Beliau berkata, setakat ini belum ada sebarang arahan untuk membuka taska di Sabah namun, prosedur operasi standard (SOP) sudah dikeluarkan.

Setakat ini, taska yang dibenarkan buka adalah Tabika Perpaduan dan Tabika Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (Jheains).

Manakala, taska lain di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia, Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan taska swasta yang berjumlah 1,900 buah masih belum mendapat kebenaran untuk dibuka.

“Bagaimanapun, dalam mesyuarat Kabinet sudah diputuskan taska perlu menyeragamkan SOP supaya semua menggunakan SOP yang sama bagi memudahkan penyelarasan. Ini kerana taska yang ada dikendalikan oleh agensi dan kementerian yang berlainan,” katanya ketika mengulas mengenai persediaan pembukaan taska di Sabah.

Yusof berkata, sekiranya semua taska sudah mendapat kebenaran beroperasi mereka harus menggunakan SOP yang selaras agar pemantauan mudah dilakukan.

Katanya, beberapa perkara perlu diberi perhatian dan guru-guru juga kena faham peraturan tentang perkara yang boleh dilakukan dan jangan ambil sambil lewa kerana ini demi keselamatan anak-anak.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *