Warisan Tidak Gentar Cabaran Ingin Rampas Kuasa – Shafie

KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah (Warisan) tidak gentar untuk berdepan dengan tekanan politik yang dimainkan oleh pihak pembangkang (UMNO) yang difahamkan cuba untuk kembali berkuasa di Sabah.

Presidennya, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, apa juga cabaran yang dihadapi, Warisan dengan kerjasama Pakatan Harapan (PH) dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) tetap sebuah kerajaan yang mempunyai sokongan majoriti.

Ketua Menteri Sabah, beliau yakin rakan-rakan dalam pimpinan Warisan mempunyai jiwa yang kental dan apa sahaja tekanan dan gangguan yang cuba dilakukan akan dihadapi dengan semangat yang kuat.

Beliau turut mempersoalkan apa cara UMNO untuk kembali berkuasa di Sabah.

“Kita tidak dapat hentikan mereka (UMNO), sebagai ahli politik mereka berhak bersuara. Tapi, kalau mahu membeli Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kita demi untuk kembali berkuasa, belilah.

“Namun, banyak pula duit. Tindakan ini adalah rasuah politik kerana ada tawar-menawar jawatan dan tawarkan duit.  Tidakkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak siasat perkara ini?.

“Bila Datuk Dr Jeffrey Kitingan menyertai Barisan Nasional (BN), dia disoal berapa yang diterima daripada Tan Sri Musa Aman. Maka, soalan ini juga perlu ditanya, bukan sekadar mahu mencabar kita untuk mengambil alih kerajaan,” ujarnya.

Menurutnya, pelbagai cara akan digunakan untuk memberi tekanan kepada kerajaan Sabah.

Tambahnya, semasa Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan dulu, tiada pula tekanan yang dikenakan ke atas Sabah.

Semalam, Pengerusi UMNO Sabah Datuk Seri Bung Mokhtar menyatakan keputusan pembebasan Musa daripada pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram itu membuka laluan kepada UMNO untuk berjuang membentuk kerajaan di Sabah.

Katanya, parti itu akan diperkukuhkan dan bersedia untuk berlawan dengan pembebasan pemimpin kanan parti berkenaan daripada semua pertuduhan ke atasnya. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *