Sabah Turut Laksana PKPP

KOTA KINABALU: Sabah memutuskan semua aktiviti dan perkara yang dibenarkan dalam peraturan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dijalankan bermula 10 Jun hingga 31 Ogos 2020.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, kebenaran itu termasuklah rentas negeri, operasi kedai gunting rambut (asas sahaja), pasar mingguan, dan pelancongan dalam negeri.

Menurutnya, turut dibenarkan sambutan Hari Raya Haji dan ibadah korban, pembukaan sekolah secara berperingkat, dobi layan diri, dan kolam memancing (tertakluk kepada saiz dan penjarakan sosial).

Katanya, aktiviti berbasikal atau konvoi yang tidak lebih daripada 40 orang serta rekreasi dan riadah yang tidak bersentuhan seperti joging, mendaki, menyelam, menyelam skuba, dan gimnasium dibenarkan di negeri ini.

“Rumah ibadat bukan Islam seperti gereja dan kuil turut dibuka dan waktu operasi perniagaan hendaklah dijalankan seperti biasa tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan pihak yang berwajib.

“Operasi ‘barter trade’, kelab malam, pusat hiburan, refleksologi, karaoke, taman tema, dan perarakan keagamaan masih tidak dibenarkan sepanjang PKPP ini.

“Kenduri-kendara, rumah terbuka, sukan bersentuhan seperti renang, ragbi, bola sepak, hoki dan melancong ke luar negara serta perhimpunan orang ramai turut dilarang dan sempadan negara juga masih ditutup,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Beliau sebelum itu menghadiri majlis sumbangan bekalan perubatan kepada sekolah-sekolah negeri Sabah dan sumbangan bekalan daripada pelbagai pihak.

Sebanyak 746,112 helai pelitup muka dan 60,652 botol cecair pembersih tangan disumbangkan oleh kerajaan negeri untuk diagihkan kepada 221 sekolah kerajaan dan 15 sekolah swasta seluruh negeri yang terdiri daripada pelajar tingkatan 5 dan 6 serta guru-guru.

Selain itu, kerajaan negeri turut menerima sumbangan peralatan perubatan seperti pelitup muka dan alat pelindung diri (PPE) daripada 11 agensi dari dalam dan luar negeri.

Shafie berkata, bekalan berkenaan wajar diagihkan ke sekolah-sekolah seluruh negeri bagi membolehkan bekalan berkenaan diterima pelajar agar tidak ada yang tercicir khususnya sekolah di luar bandar.- Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *