PH Umum Keputusan Rampas Putrajaya Minggu Depan

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad berjalan keluar selepas hadir ke Mesyuarat Pimpinan Tertinggi Pakatan Harapan (PH) di Ibu Pejabat PKR, Petaling Jaya, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 09 JUN 2020.

PETALING JAYA: Majlis Pimpinan Pakatan Harapan (PH) akan memuktamadkan keputusan mengenai usaha mengambil alih kerajaan kini yang diterajui Perikatan Nasional (PN) dalam tempoh seminggu ini.

Menurut kenyataan bersama kelima-lima pemimpin parti komponen PH, perbincangan mengenainya hari ini berjalan lancar tanpa sebarang perbalahan dan perbezaan pendapat.

“Mesyuarat hari ini telah menyaksikan perbincangan secara menyeluruh tentang pendirian setiap parti dan menampakkan kemajuan yang amat positif.

“Proses memuktamadkan segala keputusan akan dilakukan dalam masa seminggu ini,” katanya kenyataan bersama hari ini.

Terdahulu, Tun Dr Mahathir Mohamad hadir ke ibu pejabat PKR di Merchant Square, di sini bagi mengadakan pertemuan tertutup dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bermula jam 3 petang tadi.

Antara yang hadir ialah Presiden Amanah, Mohamad Sabu; Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Mesyuarat yang berlangsung kira-kira tiga jam itu bagaimanapun belum mempunyai sebarang kata putus, bahkan Mahathir bersikap berdiam diri apabila ditanya pemberita ketika beredar pada jam 6.20 petang tadi.

Spekulasi PH cuba merampas Kerajaan Persekutuan bertiup kencang sejak beberapa minggu ini, khususnya dari segi jumlah sokongan Ahli Parlimen didakwa mengatasi Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Sebelum ini, tersebar gambar pertemuan pemimpin Amanah, DAP dan Warisan bersama Mahathir namun tidak disertai oleh mana-mana pemimpin PKR. – MalaysiaGazette

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *