Semua Perkhidmatan Kerajaan Beroperasi Sepanjang PKPP

PUTRAJAYA: Semua perkhidmatan kerajaan beroperasi sepenuhnya sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang akan berkuat kuasa Rabu ini hingga 31 Ogos.

Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki Ali, berkata sistem penggiliran dan bekerja dari rumah (WFH) juga masih diteruskan.

Beliau berkata, mesyuarat dan bengkel juga dibenarkan untuk dianjurkan dengan mematuhi prosedur keselamatan dan protokol kesihatan yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Kementerian Kesihatan (KKM).

“Memandangkan sekolah masih belum dibuka sepenuhnya, sistem penggiliran dan WFH masih diteruskan mengikut keperluan dengan mengambil kira kebajikan penjawat awam sebagaimana Surat Edaran Jabatan Perkhidmatan Awam Rujukan JPA.SARAAN(S)256/6/31 JLD.6(6) bertarikh 2 Mei 2020.

“Ketua Jabatan hendaklah menggunakan kebijaksanaan dan tegas dalam perkara ini,” katanya dalam kenyataan di laman Facebooknya hari ini.

Mohd Zuki berkata, ketua jabatan perlu memastikan semua prosedur operasi standard (SOP) keselamatan dan kesihatan dipatuhi sepenuhnya seperti melaksanakan saringan suhu badan, mengamalkan penjarakan sosial, memakai pelitup muka dan menyediakan cecair pembasmi kuman.

Beliau berkata, PKPP yang akan dikeluarkan MKN termasuk semua arahan oleh pihak berkuasa hendaklah dipatuhi.

“Bagi menyokong ekonomi negara agar kembali berada di landasannya, saya menggesa agar semua projek pembangunan diteruskan dengan kadar segera.

“Bagi projek yang benar-benar memerlukan lawatan tapak, aktiviti ini dibenarkan dengan mengamalkan kebiasaan baharu dan meminimumkan bilangan peserta,” katanya. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *