Pembinaan Jambatan Labuan Perlu Diberikan Perhatian Serius – Annuar Musa

Foto BERNAMA

LABUAN, 7 Jun: Cadangan pembinaan jambatan menghubungkan Labuan dengan tanah besar Sabah yang sudah lama diperkatakan, perlu diberikan perhatian serius kerana manfaat ekonomi yang bakal diterima pulau ini, kata Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa.   

“Kami berbincang panjang pagi ini dan saya melawat  tapak yang dicadangkan untuk memahami potensi kewujudan jambatan itu.

Bagaimanapun, sebagaimana saya nyatakan sebelum ini , kami tidak perlu bercakap banyak mengenai semua perkara ini dan kemudian anda mungkin tidak boleh menyampaikannya. Namun, kami menerima kenyataan bahawa pembinaan jambatan itu adalah sesuatu yang perlu diberi perhatian serius,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan surat pelantikan  Majlis Perwakilan Penduduk (MPP), di Wisma Perbadanan Labuan di sini hari ini.

Annuar sedang dalam lawatan selama tiga hari buat julung kalinya ke Labuan sejak pelantikan beliau sebagai Menteri Wilayah Persekutuan Mac tahun ini.

Beliau berkata mungkin timbul  isu seperti kos dan teknikal  yang perlu diselesaikan  menerusi kerjasama rapat antara antara Kerajaan Negeri Sabah dan Kerajaan Persekutuan.

Annuar berkata kesemua aspek ini perlu dikaji sepenuhnya sebelum projek itu dapat dimulakan.

Beliau juga menekankan keperluan menilai dan melakukan kajian mendalam pelan pembangunan Labuan supaya selari dengan statusnya sebagai sebuah wilayah persekutuan. 

“Saya mahu melihat pelan pembangunan Labuan dalam konteks yang lebih besar … termasuk aspirasi awal kerajaan menjadikan Labuan sebagai sebuah wilayah persekutuan, “ katanya. 

Sementara itu mengenai jawatan Pengerusi Perbadanan Labuan yang kosong, beliau berkata ia akan diisi tidak lama lagi.

“Jawatan pengerusi tidak ditamatkan tetapi semua pelantikan politik oleh Kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini gugur secara automatik selepas Perikatan Nasional membentuk kerajaan,” katanya. 

 Jawatan Pengerusi Perbadanan Labuan sebelum ini disandang oleh Datuk Seri Amir Hussien daripada Parti Amanah Negara.

“Pelantikan Pengerusi Perbadanan Labuan yang baharu, dari Labuan sudah dimaklumkan kepada perdana menteri, dan beliau akan menentukannya,” kata beliau. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *