Covid-19: Pitas Daerah Terbaharu Kes Positif Di Sabah

KOTA KINABALU: Pitas menjadi daerah terbaharu merekodkan kes Covid-19 apabila mencatat satu daripada dua kes positif baharu di Sabah, hari ini.

Satu lagi kes yang dicatatkan hari ini ialah di Kota Kinabalu menjadikan jumlah keseluruhan kes yang direkodkan 355.

Statistik terbaharu yang dimuat naik Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Frankie Poon Ming Fung dalam Facebook beliau hari ini turut menyaksikan tiada kes sembuh hari ini.

Ini bermakna kes aktif di Sabah ketika ini meningkat dua menjadi 12 kes berbanding 10 semalam.

Jumlah daerah yang berada dalam zon kuning kerana mencatat kes aktif juga kini sebanyak enam termasuk terbaharu di Pitas yang merekodkan satu kes.

Daerah-daerah lain yang berada dalam zon kuning ialah Kota Kinabalu dan Tuaran masing-masing tiga kes, Tawau dan Beaufort masing-masing dua kes manakala Penampang satu kes.

Dalam pada itu, tiada kematian dicatatkan di Sabah, hari ini, dengan jumlah korban akibat Covid-19 di negeri ini kekal lima kes iaitu tiga kes berlaku di Kota Kinabalu manakala Tawau dan Tambunan masing-masing satu kes.

Sabah juga kini menjadi negeri ketujuh tertinggi mencatatkan Covid-19 di belakang Kuala Lumpur yang mencatat sebanyak 2,394, Selangor (1,968), Negeri Sembilan (911), Johor (676), Sarawak (555) dan Pahang (363).

Terdahulu, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam sidang media beliau, hari ini, berkata sebanyak tujuh kes Covid-10 baharu dicatatkan di negara ini, hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes kini sebanyak 8,329.

Katanya, daripada tujuh kes baharu itu, dua adalah kes import manakala lima kes penularan tempatan melibatkan warga Malaysia.

Berkenaan lima kes melibatkan warga tempatan, Noor Hisham memaklumkan dua kes melibatkan kontak rapat kepada pesakit ke-8,294 di Sepang, Selangor.

Tiga lagi kes, katanya lagi, masing-masing dikesan di pusat tahanan Imigresen Bukit Jalil Kuala Lumpur, saringan pra-pembedahan di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah di Likas, dan saringan komuniti di Kota Kinabalu, juga di Sabah.

Sementara itu, Noor Hisham memaklumkan seramai 20 pesakit telah sembuh dan discaj hari ini, menjadikan jumlah ke sembuh setakat ini ialah 6,694 kes iaitu 80.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Jumlah keseluruhan kes pula ialah 8,329 kes, dengan 1,518 daripadanya ialah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19.

Setakat ini, seramai enam pesakit sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), dengan seorang daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Tiada kematian dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah korban kekal 117 orang, iaitu 1.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.- Berita Sabah

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *