Lelaki Gantung Diri Dalam Tandas Rumah Sewa Bakal Tunang Di Sinsuran

Mayat mangsa diangkat oleh pasukan polis yang menjalankan siasatan di lokasi kejadian.

KOTA KINABALU: Seorang lelaki ditemui mati selepas dipercayai menggantung diri di dalam tandas, di rumah sewa tunangnya di Sinsuran, dekat sini, hari ini.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 5.30 petang apabila mangsa bersama seorang rakannya telah pergi ke rumah sewa terbabit daripada Kudat.

Mangsa dikatakan sempat menjamu selera bersama rakan dan tunangnya sebelum masuk ke bilik air untuk mandi manakala rakannya pula pulang semula ke Kudat.

Namun, mangsa dikatakan tidak keluar daripada tandas berkenaan selepas beberapa ketika sebelum disedari bakal tunangnya yang mengetuk pintu untuk bertanyakan keadaan mangsa.

Bakal tunang mangsa juga terpaksa meminta bantuan daripada jiran bilik sewa untuk memeriksa keadaan mangsa di dalam bilik air berkenaan.

Bagaimanapun, mereka terkejut selepas menyedari mangsa sebenarnya sudah menggantung diri di besi tangki air di tandas berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, bakal tunang mangsa bersama jiran berjaya memecahkan pintu tandas sebelum menurunkannya dengan memotong tali yang menggantung mangsa.

Katanya, dalam keadaan panik, bakal tunangnya terus tampil ke Balai Polis Kota Kinabalu untuk melaporkan kejadian berkenaan.

“Sebaik menerima laporan sepasukan polis dikerah ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan.

“Pasukan paramedik yang turut tiba di lokasi kejadian kemudiannya menjalankan pemeriksaan sebelum mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Habibi berkata, siasatan di tempat kejadian tidak menunjukkan sebarang unsur perbuatan jenayah yang boleh dikaitkan dengan kematian mangsa.

Katanya, mayat mangsa sudah dirujuk ke Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQE1) untuk ujian Covid -19 sebelum proses bedah siasat dijalankan.

“Siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian mangsa.

“Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut,” katanya. – Berita Sabah

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *