Covid-19: Sabah Catat Tiga Kes Baharu Hari Ini

KOTA KINABALU: Sabah hari ini mencatat tiga kes positif Covid-19 baharu, menjadikan jumlah keseluruhan kes yang pernah direkodkan sebanyak 351 kes.

Pertambahan kes baharu itu membabitkan tiga daerah iaitu Kota Kinabalu, Beaufort dan Penampang yang masing-masing bertambah satu kes.

Statistik terbaharu yang dimuat naik Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Frankie Poon Ming Fung juga menyaksikan seorang lagi pesakit jangkitan wabak itu telah sembuh dan discaj, hari ini.

Ini menjadikan jumlah kes aktif meningkat dua kes iaitu sebanyak 10 kes, berbanding lapan kes semalam.

Jumlah daerah yang masih mempunyai kes aktif dan dikategorikan sebagai zon kuning juga kekal enam iaitu Tawau yang mencatat tiga kes selain Kota Kinabalu (2), Beaufort (2), Tuaran (1), Penampang (1) dan Putatan (1).

Dalam pada itu, tiada kematian dicatatkan di Sabah, hari ini, dengan jumlah korban akibat Covid-19 di negeri ini kekal lima kes iaitu tiga kes berlaku di Kota Kinabalu manakala Tawau dan Tambunan masing-masing satu kes.

Sabah juga kini menjadi negeri ketujuh tertinggi mencatatkan Covid-19 di belakang Kuala Lumpur yang mencatat sebanyak 2,374, Selangor (1,939), Negeri Sembilan (905), Johor (676), Sarawak (553) dan Pahang (363).- Berita Sabah

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *