5,300 PTI Filipina ‘Terperangkap’ Di PTS Sabah

TAWAU, 5 Jun: Sejumlah 5,300 tahanan pendatang tanpa izin ‘terperangkap’ di pusat tahanan sementara (PTS) seluruh Sabah selepas Filipina enggan menerima kemasukan warganya ekoran pandemik COVID-19.

Pengarah Keselamatan Negeri, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Sabah Sharifah Sitti Saleha Habib Yussof berkata tindakan itu menyebabkan tahanan warga Filipina terpaksa ditempatkan di PTS dalam tempoh masa lebih lama berbanding tahanan negara lain.

“Kementerian Luar  berharap negara jiran atau yang berkaitan dapat memberi kerjasama menerima kemasukan rakyat masing-masing yang ditahan akibat berada secara haram di Sabah,” katanya di sini, hari ini.

Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula 18 Mac dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada 4 Mei, tiada pendatang tanpa izin dihantar pulang ke Filipina.

“Berdasarkan rekod, bermula 1 Jan hingga 17 Mac lalu, seramai 3,347 pendatang tanpa izin berjaya dihantar pulang membabitkan 2,331 Filipina, 816 Indonesia dan selebihnya negara lain seperti India, China, Pakistan serta Vietnam.

“Bagaimanapun, sejak pelaksanaan PKP 18 Mac lalu, MKN Sabah tidak dapat menghantar pendatang tanpa izin warga Filipina selepas negara itu enggan memberi kerjasama menerima warganya yang diusir dari Malaysia,” katanya

Dalam pada itu, Sharifah Sitti Saleha mengucapkan penghargaan kepada Indonesia termasuk Konsulat Republik Indonesia (KRI) di Sabah kerana sentiasa memberi kerjasama dalam proses penghantaran pulang semula rakyatnya.

“Berbanding Filipina, seramai 322 warga Indonesia berjaya dihantar pulang ke negara itu menerusi Tawau sepanjang tempoh PKP dan PKPB.

“Ia termasuk 82 orang terdiri daripada 77 lelaki dan lima wanita yang dihantar pulang ke Indonesia dari Tawau, menerusi Program Pengusiran Siri Ke-16, menaiki feri Mid East Express,  hari ini,” katanya.

Ini menjadikan seramai 3,753 pendatang tanpa izin berjaya dihantar balik ke negara asal bermula 7 Jan lalu sehingga hari ini. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *