Shafie Beri Kelulusan Segera RM600,000 Bina Jambatan Sementara Kampung Ranggu

Datuk Osmal Jamal

TAWAU: Keluhan dan rintihan ribuan penduduk Kampung (Kg) Ranggu yang berdepan kesukaran akibat kelewatan pembinaan jambatan Ranggu mendapat perhatian Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balung, Datuk Osmal Jamal berkata, Ketua Menteri telah meluluskan segera RM600,000 semalam bagi membina jambatan alternatif sementara berhampiran tapak pembinaan jambatan konkrit Jalan Ranggu yang sedang dalam proses pembinaan.

Osman berkata, dengan pembinaan jambatan alternatif itu, penduduk Kg Ranggu tidak perlu lagi berdepan kesukaran pergi ke bandar sementara menanti jambatan konkrit tersebut siap sepenuhnya.

“Peruntukan tambahan ini jelas membuktikan kerajaan sekarang betul-betul ingin mengubah Sabah ke arah yang lebih baik.

“Jika dilihat bagi pembinaan jambatan konkrit ini sahaja, sejumlah RM5 juta telah diperuntukkan oleh kerajaan Sabah.

“Peruntukan ini termasuk penyelengaraan Jalan Barat Daya yang tidak pernah diselenggara sejak lima tahun lalu,” katanya dalam sidang media, di Jabatan Kerja Raya (JKR) Tawau, di sini hari ini.

Beliau berkata, dalam memastikan projek pembinaan jambatan Ranggu dan jambatan alternatif itu boleh disiapkan secepat mungkin, Jabatan Kerja Raya Tawau dan kontraktor akan mengadakan mesyuarat dua kali seminggu.

Malah, Whatsapp berkumpulan juga diwujudkan bagi membolehkan penduduk kampung menyuarakan masalah mereka kepada JKR sepanjang tempoh projek pembinaan jambatan tersebut dijalankan. Jambatan Ranggu dijadualkan siap pada Januari 2021 namun mungkin berlaku kelewatan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, apabila jambatan Ranggu itu dirobohkan pada November tahun lalu bagi tujuan pembinaan baharu, jalan lencongan telah dibuka namun, keadaan jalan itu kurang memuaskan dan agak sempit untuk laluan dua kenderaan.

Malah, ketiadaan lampu jalan menyukarkan penduduk memandu pada waktu malam di kawasan tersebut.

Oleh itu, diharap dengan pembinaan jambatan alternatif ini, penduduk kampung boleh menarik nafas lega.

Mengenai dakwaan beliau gagal melaksana tanggungjawab sebagai ADUN, Osman berkata, dakwaan sebegitu tidak berasas.

“Saya tidak pernah gagal melaksana tanggungjawab saya sebagai wakil rakyat. Projek menaik taraf jambatan kayu Kg Ranggu ini merupakan bukti keprihatinan saya terhadap masalah dihadapi rakyat di kawasan Balung ini.

“Isu berkaitan pembangunan sosial termasuk kemudahan infrastruktur di kawasan balung adalah keutamaan saya semasa berada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Pembinaan jambatan konkrit ini antara pembangunan yang saya cadangkan selepas mengambil kira keluhan rakyat. Jambatan kayu ini perlu ditukar kerana banyak kes kanak-kanak mengalami kemalangan dan kereta terbabas ketika melalui jambatan ini,” ujarnya.

Dalam masa sama, beliau juga berharap peruntukan tambahan akan diberikan bagi proses penyelenggaraan dan penaiktarafan Jalan Barat Daya agar penaiktarafan itu dapat dilakukan sehingga ke Batu 12 yang menuju ke Lapangan Terbang Tawau.

Sebelum ini, tujuh penduduk kampung melakukan demonstrasi aman bagi menggesa kerajaan mempercepatkan proses pembinaan jambatan Ranggu yang didakwa tertangguh sejak enam bulan lalu. Isu ini turut ditularkan di laman Facebook.

Pembantu Menteri Kewangan Sarifuddin Hata turun mengulas mengenai isu itu dilaman Facebook semalam dengan menyatakan isu jambatan Ranggu telah dibawa kepada perhatian Ketua Menteri.

“Kita tidak boleh salahkan penduduk di sana kerana mereka yang terkesan akibat kelalain pihak kontraktor. Tujuan kerajaan menaiktaraf semua jambatan kayu dan konkrit seluruh Sabah adalah inisiatif yang cukup baik dan harus disokong.

“Namun peringkat pelaksanaan masih mengecewakan. Bagi pihak kerajaan negeri kita memohon maaf atas perkara ini,” ujarnya. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *