Semua Aktiviti Sekolah Dibenarkan, Kecuali Sukan, Kokurikulum Bersemuka & Perhimpunan

Kakitangan sebuah sekolah di Kuala Lumpur mengukur jarak di antara meja dalam persiapan untuk pembukaan semula sekolah tidak lama lagi

KUALA LUMPUR: Semua aktiviti sekolah dibenarkan apabila sesi persekolahan dibuka semula nanti, kecuali sukan, kokurikulum bersemuka dan perhimpunan serta program yang membabitkan himpunan ramai guru dan murid.

Makluman SOP Pembukaan Semula Ekonomi bagi sektor pendidikan yang dikongsi Jabatan Perdana Menteri (JPM) hari ini, turut menetapkan individu dengan bacaan suhu badan lebih 37.5 Celsius serta menunjukkan simptom seperti sakit tekak, batuk dan susah bernafas tidak dibenarkan masuk ke sekolah.

Ia juga memaklumkan, rekod suhu badan guru, murid dan warga sekolah serta pekerja kontrak akan diambil di pintu pagar atau tapak perhimpunan sekolah setiap hari.

Garis panduan itu bagi memastikan semua murid, guru dan warga sekolah melalui saringan kesihatan yang dilaksanakan setiap hari di lokasi yang ditetapkan sebelum sesi persekolahan bermula.

Selain itu, mereka yang mahu mengunjungi sekolah juga perlu memuat turun dan mendaftar aplikasi MySejahtera ke dalam telefon bimbit masing-masing untuk rekod pengesanan kontak rapat.

Pengurusan sekolah turut diwajibkan membuat hebahan mengenai langkah kebersihan dan keselamatan pada waktu pagi, rehat dan sebelum sesi persekolahan tamat, termasuk ketika sesi pengajaran dan pembelajaran.

“Setiap individu yang berada di sekolah perlu mematuhi penjarakan sosial satu meter, memastikan murid, guru dan warga sekolah kerap mencuci tangan menggunakan air dan sabun.

“Cecair pembasmi kuman pada tangan boleh digunakan sekiranya tiada kemudahan air dan sabun,” demikian menurut makluman itu lagi.

Sesi persekolahan yang akan dibenarkan beroperasi kelak hanya membabitkan kelas peperiksaan seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) serta Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

Mulai 19 Mac lalu, semua jenis sekolah di Malaysia diarah tutup susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan COVID-19.

Ia membabitkan semua prasekolah, sekolah kerajaan dan swasta termasuk sekolah harian, sekolah berasrama penuh, sekolah antarabangsa, sekolah ekspatriat, pusat tahfiz, kolej dan pusat GENIUS dan lain-lain institusi pendidikan rendah, menengah dan prauniversiti serta Institut Pendidikan Guru.

Serentak itu, murid sekolah tidak boleh menghadiri aktiviti seperti tuisyen, latihan sukan dan kegiatan kokurikulum.

Bagaimanapun, kakitangan yang mengendalikan hal ehwal kewangan, keselamatan dan kebersihan dibenarkan hadir bertugas kerana termasuk dalam senarai perkhidmatan penting, namun jumlah pekerja mesti diminimumkan.- Berita Harian

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *