Bekas Pemain Hoki Sabah, Negara Meninggal Dunia

Angeline Reutens

KOTA KINABALU: Bekas pemain hoki wanita Sabah dan Malaysia, Angeline Reutens, meninggal dunia di Hospital Labuan, tengah hari semalam.

Angeline, 67, yang sebelum ini mengidap penyakit buah pinggang sejak beberapa tahun lalu meninggalkan suami Kapten Yeng Kam Foon serta dua anak lelaki.

Beliau memulakan karier sebagai pemain hoki bersama pasukan Labuan ketika berusia 16 tahun lagi sebelum diserapkan ke pasukan Sabah, dua tahun kemudian.

Bakat beliau dalam sukan itu kemudian terus berkembang apabila dipanggil menyertai skuad kebangsaan pada tahun 1970-an dan beliau juga merupakan antara pemain dari Sabah terawal pernah beraksi untuk negara.

“Angeline seorang insan yang sangat baik dan sangat disenangi oleh rakan sepasukan suatu ketika dulu selain karakternya yang dikagumi.

“Beliau juga mempunyai pengaruh besar dalam sukan hoki wanita di Sabah, terima kasih Angeline Reutens kerana pengalaman bersama yang pasti tidak akan dilupakan,” kata bekas rakan sepasukannya, Halimah Z Kassim.

Seorang lagi bekas rakan sepasukan daripada Tawau, Jaiton Mumin, berkata beliau sangat terkejut dengan berita pemergian Angeline dan sedih kerana tidak sempat melawatnya lebih awal.

“Saya rasa sangat sedih kerana tidak dapat berjumpa ( dengan Angeline) sebelum dia meninggal dunia, kami sangat rapat ketika masih bermain dulu dan kami juga masih berhubung sehingga baru-baru ini.

“Kami sering berhubung menerusi pesanan di Whatsapp dan kali terakhir saya menerima pesanan daripada dia adalah pada April lalu ketika kesihatannya masih baik,” katanya.- Berita Sabah

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *