Lelaki Filipina Ditahan Bersama 5 Kilogram Syabu Di Semporna

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Zaini Jass bersama timbalannya Datuk Mazli Mazlan menunjukkan dadah jenis syabu yang dirampas Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Semporna pada sidang media di IPK Sabah, hari ini.

KOTA KINABALU: Seorang lelaki warga Filipina gagal menyeludup masuk syabu 5.184 kilogram dianggarkan bernilai lebih RM200,000 di terminal bas Semporna, Sabah Ahad lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Zaini Jass berkata, kejayaan itu hasil risikan dan intipan yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Semporna.

Katanya, lelaki warga asing berusia 25 tahun itu berjaya ditahan pada jam 7.30 malam di Terminal Bas, Semporna.

“Ketika tangakapan itu, lelaki terbabit dikesan sedang membawa sebuah kotak yang dipercayai baru tiba daripada Kota Kinabalu melalui pengangkutan darat.

“Hasil pemeriksaan terhadap kotak berkenaan menemui 19 kotak kecil berisi ‘earphones’ dan lima lagi bungkusan besar bertulis teh hijau yang mengandungi serbuk disyaki dadah jenis syabu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontijen (IPK) Sabah, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Mazli Mazlan dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) IPK Sabah, Superintendan Ahmad Jawila.

Zaini berkata, pemeriksaan lanjut kemudiannya mendapati suspek tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri dan ujian saringan air kencing juga didapati negatif dadah.

“Siasatan lanjut terhadap suspek mendapati, dadah berkenaan dipercayai untuk pasaran tempatan dan dianggarkan boleh digunakan kira-kira 1,000 penagih dalam jangka masa satu bulan.

“Suspek terbabit kini ditahan reman selama tujuh hari bermula Isnin lalu untuk membantu siasatan lanjut,” katanya.

Zaini berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – Berita Sabah

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *