Misteri Puisi Rungus, Pujuk ‘Rogon’ Tak Ganggu Manusia

Gambar Hiasan

KOTA KINABALU: Warisan kesusasteraan lisan dalam bentuk puisi suku kaum Rungus di negeri ini, kekal misteri hingga ke hari ini disebabkan kekurangan catatan bertulis.

Pada zaman lampau, masyarakat suku itu menyampaikan puisi ini yang dikenali sebagai bahul dalam bahasa ibunda Rungus untuk menyemah ‘roh’ jahat atau sebagai alat memotivasikan atau mendisiplinkan orang lain.

Seni itu bagaimanapun, tidak lagi diamalkan oleh masyarakat subetnik Kadazan-Dusun berkenaan.

Penyelidik kesusasteraan lisan tradisional Rungus, Dr Raymond Majumah, berkata sebahagian besar puisi Rungus berkaitan kehidupan di dunia, lazimnya tidak berkait dengan sebarang peristiwa atau majlis tertentu.

“Puisi ini dilafazkan kerana keadaan tertentu dan perlu dilakukan,” kata Raymond kepada BERNAMA di sini.

Raymond berkata, beliau mengambil masa tujuh tahun untuk menyiapkan penyelidikannya mengenai kesusasteraan lisan tradisional Rungus.

Bagi mendapatkan maklumat diperlukan, beliau mengunjungi beberapa kampung terpencil di Kota Marudu dan Pitas yang terletak di bahagian hujung utara Sabah.

Beliau mengakui kesukaran menjalankan kerja penyelidikan kerana berbeza dengan puisi lama Melayu yang didokumenkan, kebanyakan puisi Rungus dizahirkan secara lisan sahaja dan diwarisi daripada generasi kepada satu generasi lain.

Bagaimanapun, sewaktu kunjungannya ke kampung, beliau berjaya mendapatkan maklumat sesetengah puisi yang masih segar dalam ingatan beberapa warga emas.

“Menterjemahkan puisi ini ke bahasa Melayu juga bukan mudah kerana ia dilafazkan dalam bahasa klasik Rungus. Dalam kebanyakan keadaan, orang yang berkongsi puisi ini tidak dapat menjelaskan maksud konseptualnya,” katanya.

Menurut beliau, standard bahul Rungus atau pusi mengandungi empat, enam, lapan atau 10 baris yang membentuk binaan rangkap.

Penyelidikan beliau juga mendedahkan suku kaum Rungus menggunakan kesusasteraan lisan tradisional, antaranya menyemah roh jahat dikenali sebagai rogon sewaktu sesi penyembuhan penyakit.

“Teks digunakan dalam majlis seperti itu menjadi bentuk pengucapan berhubung dengan rogon. Ia juga membabitkan beberapa persembahan untuk memujuk ‘roh’ agar tidak mengganggu manusia, ” katanya.

Beliau menambah, sekiranya rogon tidak menerima tawaran perdamaian, mereka akan mendapatkan bantuan Kinoringan atau Tuhan untuk menghukum ‘roh jahat.’

“Bagaimanapun, upacara ini jarang diamalkan pada hari ini. Jika pun ada orang melafazkan bahul pada masa ini, ia hanya untuk menunjukkan orang itu mempunyai sedikit pengetahuan tradisi lisan purba ini,” katanya.

Puisi purba Rungus juga memberi gambaran kehidupan masyarakat dan tahap kearifan mereka, sekali gus ada kecenderungan untuk menggunakan cara kompleks dalam menjelaskan corak pemikiran mereka.

Selain digunakan untuk menyemah ‘roh jahat,’ puisi itu juga digunakan untuk membetulkan seseorang yang berkelakuan tidak sewajarnya. Dalam hal ini, lafaz puisi akan berbentuk teguran secara tidak langsung atau lembut.

Beliau memberi contoh perkataan bahul menyentuh soal kepentingan disiplin dan etika kerja, iaitu uva dhilho bhambangan yang bermaksud buah bambangan; popiturug-turugon (putar); ong amu umbanganan (sekiranya salah dimainkan) dan abhambang korugian (akan menyebabkan kerugian besar).

Sewaktu membuat penyelidikan, beliau menemui beberapa tradisi Rungus jarang diketahui umum seperti mi’irung atau makan bersama; mitangganggazung (tanggungjawab bersama) dan oo’bhingrubatan (kesetiaan kepada kepercayaan tradisional).

Mitangganggazung juga membawa maksud dermawan, yakni membantu kawan atau penduduk sekampung yang memerlukan bantuan kewangan.

Beliau berkata, bahasa Rungus juga semakin tidak dituturkan generasi muda yang lebih memilih untuk bercakap dalam bahasa Melayu.

“Meskipun cara bercakap bahasa Rungus mungkin sukar untuk dipelihara kerana pengaruh bahasa Melayu, saya percaya bahasa ibunda ini tidak akan lenyap sepenuhnya,” katanya.

Terdapat lebih 50,000 orang Rungus di Sabah yang tinggal di Kota Marudu, Kudat dan Pitas dengan kebanyakannya beragama Kristian.- Berita Harian

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *