“Ko Mau Madu Kah?”… Itu Slogan Lano Lan Promosi Madu Tempatan

Lano bersama pasukannya ketika menuai madu lebah liar.

KOTA KINABALU: Slogan ‘Ko mau madu kah?’ menjadi slogan pilihan jurugambar bebas, Lano Lan untuk mempromosikan madu lebah yang diperoleh dari kawasan pedalaman Sabah termasuk di Long Pasia..

Slogan yang ringkas itu kini digunakan dalam media sosial Facebook dan Youtube bagi tujuan promosi dan menjual madu lebah.

Lano, 46, berkata, penglibatannya dalam menuai madu lebah bermula pada tahun lalu ketika dalam proses menemubual pengusaha madu lebah di Long Pasia. Ketika itu, beliau masih bertugas sebagai jurugambar bebas untuk sebuah akhbar nasional.

“Pada masa itu, saya hanya merakamkan proses penuaian madu lebah. Namun, dalam masa yang sama, saya turut membantu mereka menuai kerana kebetulan mereka perlukan orang untuk membantu menuai madu tersebut.

“Berkemungkinan saya ditakdirkan untuk belajar cara-cara menuai madu lebah daripada mereka,” katanya.

Keadaan dimana, pemanjat menuai madu lebah liar dihutan pada waktu malam.

Menurutnya, disebabkan proses menuai madu lebah memerlukan sekurang-kurangnya enam orang, iaitu dua orang memanjat pokok bagi mengambil madu, dua orang lagi bertanggungjawab memegang tali dan selebihnya menuai madu berkenaan dengan serta-merta.

Lano berkata, peranan mengeluarkan madu lebah daripada sarangnya itu memberi cabaran kepada mereka yang diberi tanggungjawab untuk tugas itu kerana masih terdapat lebah di situ.

Namun, dengan teknik yang betul, mereka dapat mengelakkan diri daripada menjadi mangsa sengatan lebah.

Sarang madu lebah liar.

Katanya, dalam memastikan proses mendapatkan madu lebah boleh dilakukan secara berterusan, mereka hanya akan menuai madu dalam kuantiti yang diperlukan sahaja.

Lano yang berasal dari Kiulu ini berkata, menuai madu lebah betul-betul berbeza dengan kerjayanya sebelum ini yang hanya perlu memegang kamera.

Namun, hasil pendapatan menjual madu memang lumayan kerana permintaan terhadap madu amat tinggi di pasaran.

Suasana malam ketika aktiviti menuai madu dengan menggunakan sabut kelapa yang mengeluarkan bara bagi mengusir lebah dari sarang.

Madu asli ini dijual dengan harga RM100 sebotol (500ml).

Katanya, mereka tidak menggunakan khidmat orang tengah dan memilih untuk menjual hasil madu yang dituai itu sendiri bagi memastikan pelanggan menerima madu asli yang berkualiti.

Tambahnya, proses menuai madu lebah ini biasanya sekitar bulan Februari hingga Mei serta Julai hingga November di Long Pasia, Kota Marudu, Kota Belud, Kiulu dan Ranau. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

https://www.facebook.com/ruslanlusi/posts/10220816892684208

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *