Covid-19: Kes Baharu Di Beaufort Dikesan Di Pintu Masuk Labuan

KOTA KINABALU: Kes baharu positif Covid-19 yang dilaporkan di Beaufort semalam dikesan di Pintu Masuk Labuan.

Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr Christina Rundi berkata, individu berkenaan pulang ke Labuan untuk kembali bekerja dan kes ini sedang menerima rawatan di Hospital Labuan.

Pertambahan kes baharu itu menjadikan daerah Beaufort kembali merekodkan kes positif selepas kes terakhir di Beaufort telah pulih sebelum ini.

Setakat semalam, 348 kes dilaporkan di Sabah dengan bilangan kes aktif hanya 11 kes dan bilangan kes pulih sebanyak 332 kes.

Beliau berkata, pada 1 Jun, sejumlah 934 ujian telah dijalankan, menjadikan jumlah kumulatif ujian bagi negeri Sabah berjumlah 92,633. Daripada jumlah ujian pada 1 Jun itu, terdapat dua sampel positif iaitu satu sampel positif untuk kes baharu dan satu lagi merupakan sampel ulangan.

“Sehingga 2 Jun, seramai 6,949 orang sedang menjalani perintah Home Quarantine dan seramai 1,108 orang masih berada di 46 buah Pusat Kuarantin di seluruh Sabah dan tidak ada pelanggaran dilaporkan.

“Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) ingin menegaskan bahawa setiap individu yang diarahkan untuk dikuarantin perlu melaksanakan perintah ini dengan penuh tanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan, di sini semalam.

Christina berkata, sepanjang tempoh pengawalan penularan jangkitan Covid-19, Unit Inspektorat dan Perundangan (UIP) JKNS bersama agensi lain dalam Operasi Bersepadu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah memeriksa sebanyak 1,079 premis pada 1 Jun dan tidak ada pelanggaran yang dilaporkan.- BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *