322 Warga Indonesia Dihantar Pulang Dari Tawau

Antara Pendatang warga Indonesia yang dihantar pulang ke negara asal melalui Tawau, hari ini.

TAWAU: Majlis Keselamatan Negara mengusir 322 orang pendatang tanpa izin dari Indonesia, hari ini.

Pengarah MKN Sabah, Sharifah Siti Saleha Haibib Yussof, berkata pengusiran melalui laut kali ke-15 dan ke-16 itu membabitkan seramai 240 orang diusir hari ini, manakala 82 orang lagi diusir pada Sabtu ini.

Sebahagian warga Indonesia yang dihantar pulang ke negara asal melalui Tawau, hari ini.

Daripada 240 pendatang, katanya, seramai 121 orang terdiri daripada 80 lelaki, 31 wanita, enam kanak-kanak lelaki dan empat kanak-kanak perempuan menaiki feri berlepas pada jam 9.20 pagi, manakala baki 191 lagi menaiki feri seterusnya pada 12.00 tengahari ini.

Beliau berkata, khas penghantaran pulang itu diselaraskan dengan kerjasama Jabatan Imigresen dan agensi kerajaan yang lain.

“Mereka diusir melalui jalan laut menggunakan perkhidmatan feri penumpang dari Pelabuhan Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) Tawau ke Pelabuhan Nunukan, di Indonesia.

“Tahun ini sahaja jumlah keseluruhan pengusiran pendatang seramai 3,753 orang termasuk dari India, China, Pakistan dan Vietnam, yang diuruskan Jabatan Imigresen Cawangan Sabah.

“Pengusiran selaras dengan kelulusan kerajaan negeri pada mesyuarat Pusat Kawalan Operasi Bencana 30 Mei lalu dan sejajar dengan arahan Kerajaan Persekutuan yang diumumkan oleh Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini.

“Jumlah individu yang diusir sejak 1990 sehingga hari ini pula seramai 594,920 orang,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata tindakan pengusiran dibuat selari dengan situasi semasa dan keputusan kerajaan dan semua tahanan menjalani ujian saringan COVID-19, sebelum diusir selain penjagaan kebersihan diamalkan sepanjang proses pengusiran berlangsung selari dengan protokol kesihatan yang ditetapkan oleh kedua-dua negara.- BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *