Ramai Rakyat Tempatan Sanggup Kerja Di Pasar

KUALA LUMPUR: Kira-kira 100 warga tempatan masih menunggu kekosongan kerja di pasar borong Selayang sejak kerajaan menetapkan pengambilan pekerja tempatan di sektor pekerjaan itu.

Perkara itu didedahkan Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Pasar Borong Harian Selayang, Mohamad Pandu Insan Yahya.

Beliau menjelaskan, dengan dasar baharu kerajaan untuk tidak mengambil pekerja asing bekerja di pasar borong, pihaknya mengendalikan lebih 20 permohonan kerja sehari.

Katanya, pihaknya saja sudah membantu kira-kira 200 orang mendapatkan kerja manakala selebihnya diambil bekerja majikan atau ‘tauke’ di pasar borong.

“Saya anggarkan 400 orang tempatan sudah pun bekerja di pasar borong ini sejak sebelum Aidilfitri lalu.

“Dalam sehari lebih 10 panggilan kita terima yang menanyakan mengenai kekosongan kerja. Kita bantu memberikan maklumat jawatan kosong dan ada yang kita temuduga dan padankan dengan keosongan yang ada.

“Alhamdulilah sambutan menggalakkan dan tidak timbul dakwaan yang menyatakan orang kita malas dan tidak mahu bekerja di pasar. Saya kira itu dakwaan daripada kumpulan yang selama ini menguruskan pekerja asing.

“Kumpulan itu saya percaya saja mereka-reka cerita sebagai tekanan kepada kerajaan untuk mengambil semula pekerja asing,” katanya kepada BH.

Baru-baru ini, viral di medai sosial menyatakan, majikan di pasar borong sukar mendapatkan pekerja kerana tidak menawarkan gaji tinggi selain tidak mahu terikat untuk pembayaran potongan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Turut viral kononnya, kegagalan majikan menyediakan potongan KWSP menyebabkan orang tempatan tidak berminat bekerja di pasar borong.

Mohd Pandu Insani berkata, beliau percaya dakwaan yang viral itu tidak menggambarkan situasi sebenar yang berlaku di lapangan.

Katanya, setiap hari lebih 30 orang akan mula bekerja dan yang datang ini membabitkan pelbagai bangsa, tua mahu pun muda.

“Tidak timbul isu majikan tidak mahu bayar KWSP atau sebagainya. Saya kira sekarang dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ramai yang memerlukan kerja kerana sesetengah syarikat terpaksa menutup operasi.

“Untuk meneruskan hidup, saya kira orang Malaysia sudah tidak memilih kerja, mereka sanggup bekerja asalkan mendapat gaji untuk meneruskan kehidupan.

“Ramai yang datang dalam kalangan belia, malah ada yang ditemuduga adalah lepasan institusi pengajian tinggi . Saya diberitahu mereka sanggup bekerja sementara menunggu keadaan ekonomi pulih dan sektor pekerjaan yang lain di buka semula,” katanya.- Berita Harian

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *