Langgar SOP PKPB, 17 Individu Dikompaun

KOTA KINABALU: Polis mengeluarkan kompaun terhadap 17 individu selepas didapati gagal mematuhi penjarakan sosial seperti mana dalam peraturan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Operasi selama dua hari iaitu pada Sabtu dan Ahad lalu itu dijalankan di beberapa lokasi antaranya Manggatal, Inanam, Imago serta Api-Api Centre, bermula jam 12 tengah hari hingga 12 tengah malam.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, tangkapan hari pertama membabitkan lima individu yang ditahan di sebuah restoran di Manggatal.

Katanya, polis kemudiannnya menahan lima lagi individu yang berkumpul di tepi jalan pusat beli belah Imago.

“Operasi pemantauan diteruskan pada hari kedua dan lima lagi individu ditahan selepas dikesan berkumpul tanpa mematuhi arahan penjarakan sosial di sebuah restoran di Manggatal.

“Dua lagi ditahan kerana membuka kafe siber tanpa kebenaran di Inanam dan membuka kios beroperasi melebihi jam 10 malam di Api-Api Centre,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Habibi berkata, semua yang ditahan berusia lingkungan 21 tahun hingga 60 tahun membabitkan 11 lelaki dan enam wanita.

Katanya, semua ditahan mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No. 6) (Pindaan) 2020.

“Mereka juga boleh dihukum mengikut Peraturan 15, akta yang sama,” katanya.

Sehubungan itu, Habibi menasihati masyarakat di daerah ini supaya mematuhi prosedur operasi standard Perintah Kawalan Pergerakan yang dikuatkuasakan Kerajaan Negeri Sabah.- Berita Sabah

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *