KDCA Sepi Tanpa Lirik Lagu ‘Unduk Ngadau’

PENAMPANG, 30 Mei: Lirik lagu “Sumandak Sabah mana kau cari, Unduk Ngadau gelaran diberi, satu Sabah ternanti-nanti, kalah atau menang ada yang sampai menangis terlampau berabis,” sering berkumandang di Dewan Hongkod Koisaan Persatuan Kebudayaan Kadazadusun (KDCA) setiap kali sambutan Pesta Kaamatan pada Mei saban tahun.

Namun ekoran pandemik virus COVID-19, bukan hanya tiada berkumandang nyanyian lagu tempatan malah KDCA turut sunyi dan lengang tanpa pengunjung.

Tinjauan Bernama mendapati laluan menuju ke dewan itu lengang, tidak seperti tahun-tahun sebelum ini yang sesak dengan kenderaan pengunjung malah beberapa premis di sekitar dewan itu turut mengenakan caj meletak kereta sebanyak RM10.

Pintu utama masuk ke kawasan KDCA juga telah ditutup kepada pengunjung bagi mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Pengerusi Majlis Belia KDCA, Steve Johnny Mositon, berkata meskipun tiada sambutan besar-besaran, KDCA dengan kerjasama Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) telah mengadakan pertandingan nyanyian dalam talian menggunakan bahasa Kadazandusun.

Beliau berkata ia terbahagi kepada kategori kanak-kanak dan dewasa, pemenang akan dinilai berdasarkan penyampaian, pakaian dan suasana lagu yang disampaikan.

“Pemenang akan diumumkan esok, selain video kesedaran bagi sambutan Pesta Kaamatan tahun ini di laman sosial Facebook KDCA Youth Council,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.

Sementara itu, pemenang Unduk Ngadau (Ratu Cantik) 2019, Francisca Ester Nain, 26, ketika mengimbau kenangan sambutan Pesta Kaamatan tahun lepas, berkata sehari sebelum hari pertandingan akhir Unduk Ngadau semua peserta akan dibawa melawat rumah tradisional di KDCA.

Berasal dari Kota Belud, Francisca, berkata selepas acara lawatan itu, mereka akan bersedia untuk sesi soal jawab pada akhir pertandingan sebelum diumumkan sebagai pemenang Ratu Cantik pada malam 31 Mei.

Anak keenam daripada lapan beradik itu berkata meskipun tiada sambutan berskala besar tahun ini namun beliau komited untuk meneruskan tanggungjawab sebagai Unduk Ngadau seperti yang diamanahkan.

“Kita semua sedia maklum keputusan itu demi untuk kebaikan semua dan pada masa sama saya akan teruskan tanggungjawab seperti biasa,” katanya yang memenangi pertandingan itu pada kali kedua penyertaannya selepas 2017.

Sementara itu, kakitangan KDCA, Jackson James, 37, ketika ditemui, berkata suasana itu memang agak janggal baginya kerana setiap tahun terutamanya pada 30 hingga 31 Mei, mereka pasti sibuk mengendalikan acara yang dinantikan iaitu pertandingan Unduk Ngadau.

Katanya, di luar perkarangan dewan itu turut dimeriahkan dengan gerai pelbagai jenis jualan makanan tradisi penduduk Sabah yang pastinya menarik ramai pelancong tempatan dan luar negara.

“Selalunya gerai jualan di sini (KDCA) akan mula dibuka pada pertengahan bulan Mei sehingga 31 Mei iaitu pada hari kemuncak sambutan Pesta Kaamatan.

“Kali ini memang sunyi dan saya datang ke sini pun hanya untuk menyiapkan beberapa kerja yang belum siap,” katanya yang bekerja di KDCA sejak 2010. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *