Covid-19: 57 Kes Baharu, Tiada Kematian Untuk 9 Hari Berturut-Turut- KP Kesihatan

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah

PUTRAJAYA, 31 Mei: Sebanyak 57 kes positif COVID-19 baharu yang dilaporkan hari ini sekali gus menjadikan jumlah kumulatif terkini ialah 7,819 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada 57 kes baharu yang dilaporkan, 10 adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara.

“Daripada 47 kes penularan tempatan, 43 adalah kes bukan warganegara manakala kes penularan tempatan dalam kalangan warganegara adalah empat kes sahaja,” katanya pada sidang media harian perkembangan COVID-19 di sini hari ini.

Tiada kes kematian dicatatkan hari ini dan jumlah kumulatif yang meninggal dunia kekal pada 115.

Susulan itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 1,351 dan mereka telah diasingkan serta diberi rawatan. 

Dr Noor Hisham berkata 23 kes telah pulih dan dibenarkan discaj hari ini manakala sembilan masih ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) dengan dua daripadanya memerlukan bantuan pernafasan. 

Beliau turut menekankan mengenai risiko jangkitan COVID-19 yang meningkat akibat amalan merokok.

“Tabiat merokok telah terbukti mengakibatkan pelbagai jenis penyakit serta boleh melemahkan sistem imuniti manusia sekali gus meningkatkan risiko terhadap jangkitan bakteria dan virus terutama sekali semasa wabak COVID-19.

“Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), melalui kenyataannya pada 27 Mei lepas dan disokong dengan beberapa kajian luar negara, mendapati golongan perokok adalah berisiko tinggi untuk mendapat komplikasi yang lebih teruk jika dijangkiti COVID-19.

”Ini kerana ia adalah penyakit berjangkit yang menyerang terutamanya paru-paru. Merokok merosakkan fungsi paru-paru,” katanya.

Sempena Hari Tanpa Tembakau yang diraikan pada 31 Mei setiap tahun, Dr Noor Hisham berkata sambutan di Malaysia pada tahun ini adalah bertemakan ‘Generasi Muda Mesti Dilindungi.’

Justeru itu, selain generasi muda, Kementerian Kesihatan menyeru semua peringkat dan lapisan masyarakat menghindarkan diri daripada amalan merokok kerana dengan berhenti merokok mereka akan lebih sihat, katanya.

Beliau berkata tembakau membunuh lebih 8 juta orang di seluruh dunia setiap tahun dan daripada jumlah itu, lebih 7 juta kematian adalah disebabkan penggunaan tembakau secara langsung dengan kira-kira 1.2 juta adalah bukan perokok yang terdedah kepada asap rokok terpakai. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *