Cinta Tak Direstui, Bapa Penggal Kepala Anak Ketika Tidur

Romina dipenggal bapanya kerana hubungan cintanya dengan lelaki berusia. prevnext Agensi

TEHRAN: Hanya disebabkan mencintai lelaki yang 21 tahun lebih tua daripadanya, remaja perempuan dibunuh bapa apabila kepalanya dipenggal ketika tidur di dalam bilik di wilayah Gilan, barat laut Iran.

Kematian Romina Ashrafi, 14, dianggap bapanya sebagai pembunuhan kehormat bagi menjaga maruah keluarga namun mencetuskan kemarahan rakyat negara itu selepas didedahkan media tempatan.

Romina dipenggal bapanya kerana hubungan cintanya dengan lelaki berusia. prevnext Agensi

Media menggelar tragedi berkenaan sebagai kegagalan perundangan dalam melindungi hak wanita dan kanak-kanak selain rakyat mewujudkan tanda pagar #Romina_Ashrafi yang diulang ciap 50,000 kali di Twitter.

Kebanyakan mereka mengutuk pembunuhan terbabit dan sifat patriarki dalam masyarakat Iran secara umum.

Memetik BBC, Romina bercinta dengan lelaki berusia 35 tahun dan mahu berkahwin, namun hubungan itu ditentang keluarga hingga dia melarikan diri bersama lelaki berkenaan.

Polis menemuinya selepas lima hari hilang dan Romina dihantar pulang meskipun dia memberitahu nyawanya dalam bahaya jika kembali ke pangkuan keluarga.

Dilaporkan, remaja itu diserang bapanya dikenali Reza dengan sabit pada malam Khamis sebelum bapanya keluar bersama senjata berkenaan di tangan serta mengaku melakukan pembunuhan itu sebelum ditahan polis.

Dalam pada itu, The Guardian melaporkan Presiden Iran Hassan Rouhani mengarahkan kabinetnya segera bertindak menangani kes itu dan melihat semula perundangan yang melindungi wanita dan kanak-kanak.

Penasihat presiden bagi hak asasi manusia, Shahnaz Sajjadi berkata, “Kita perlu mengubah pandangan bahawa rumah adalah tempat selamat untuk kanak-kanak dan wanita. Ini kerana jenayah terhadap wanita dalam masyarakat sangat rendah jika dibandingkan dengan keganasan di dalam rumah.”

Undang-undang syariah Iran membenarkan pengurangan hukuman ke atas bapa dan ahli keluarga yang didakwa membunuh atau mencederakan kanak-kanak dalam keganasan rumah tangga atau yang disifat ‘pembunuhan kehormat’.

Jika lelaki itu didapati bersalah, dia dihukum penjara antara tiga hingga 10 tahun, berbanding hukuman mati bagi kes pembunuhan biasa.- Agensi

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *