Tidak Patuh Arahan Kuarantin, Lelaki Tempatan Didenda RM1,500

KOTA KINABALU: Kedegilan membawa padah. Itulah situasi yang dihadapi seorang lelaki tempatan yang ingkar dengan perintah menjalani kuarantin di rumah.

Lelaki yang diarahkan menjalani perintah kuarantin di Kampung Cenderakasih, Kota Kinabalu.

Dalam pendakwaan yang dilakukan hari ini, Mahkamah Majistret menjatuhkan hukuman denda RM1,500 ke atas lelaki tempatan berkenaan. Jika gagal membayar denda, tertuduh boleh dipenjara selama lima bulan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, laporan polis telah dibuat pada 19 Mei lalu dimana, lelaki berkenaan didapati tidak berada di rumahnya ketika pengadu yang merupakan petugas kesihatan melakukan pemeriksaan Orang Kena Perintah Pengawasan dan Pemerhatian (kuarantin).

Lelaki berkenaan dipercayai berada di lokasi baharu iaitu di Kampung Inderasan Laut, Kudat.

Susulan laporan polis yang dibuat, tangkapan ke atas suspek dibuat pada 28hb Mei lalu kerana didapati tidak mematuhi perintah di bawah Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan juga telah melakukan perbuatan jahat yang mungkin akan merebakkan jangkitan virus Covid-19, yang mana boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (a) Akta yang sama.

Suspek diperintahkan menjalani kuarantin di rumah di Kampung Cenderakasih bermula 8 hingga 21 Mei kerana didapati berhubung rapat dengan seorang individu yang dipercayai positif Covid-19.

Bagaimanapun, pada 18 Mei, suspek telah dimaklumkan oleh pihak hospital bahawa keputusan sampel pertama adalah negatif, namun masih lagi perlu untuk membuat ujian kali kedua pada 20 Mei dan suspek masih perlu menjalani kuarantin sehingga sampel kedua diambil di Hospital Queen Elizabeth.

Habibi berkata, walaupun kini kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), masyarakat hendaklah mematuhi sebarang prosedur operasi standard (SOP) yang telah dikuatkuasakan.

Katanya, tahap pematuhan masyarakat kepada SOP dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) adalah menjadi penentu kejayaan PKPB. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *