‘Selamat Maju Jaya Tun’ – Muhyiddin

“Saya yakin dan percaya Bersatu akan terus teguh. Kita sudah menghadapi banyak cabaran daripada awal parti ini saya tubuhkan dan menempuh banyak duri dan ranjau dalam perjuangan.”

Demikian kata Presiden merangkap Pemangku Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung isu terlucutnya keahlian lima bekas ahli parti itu termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad.

Muhyiddin sekali lagi menjelaskan lima Ahli Parlimen itu tidak dipecat sebaliknya perbuatan mereka yang melanggar perlembagaan menyebabkan keahlian terhenti dengan serta-merta.

Selain Dr Mahathir, empat lagi ialah Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Datuk Amiruddin Hamzah dan Dr Maszlee Malik.

Beliau berkata, pihaknya tidak mengambil tindakan terburu-buru walaupun terdapat banyak desakan supaya tindakan diambil lebih awal.

“Saya mahu berlaku adil kepada semua pihak dan memastikan apa saja tindakan yang dibuat mestilah berlandaskan perlembagaan parti.

“Tiada mana-mana individu yang mengatasi perlembagaan parti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, beliau berharap ahli Bersatu dapat bersabar dan bertenang dalam menghadapi situasi terlucutnya keahlian lima bekas ahli Bersatu itu.

“Yang penting kita tidak berjuang demi mana-mana individu, tetapi demi agama, bangsa dan negara kita,” katanya.

Katanya, pasti ramai ahli parti dukacita dengan keputusan dibuat Dr Mahathir untuk tidak lagi berada dalam Bersatu.

“Tentunya kita berasa dukacita dengan pilihan yang dibuat oleh Tun Dr Mahathir (Mohamad) untuk tidak berada bersama-sama kita dalam wadah dan haluan perjuangan parti seperti diputuskan Majlis Pimpinan Tertinggi.

“YB Tun (Dr Mahathir) bersama pengikutnya yang lain memilih untuk terus bekerjasama dengan Pakatan Harapan walaupun parti memutuskan sebaliknya.

“Jika itu pilihan YB Tun, saya ucapkan selamat maju jaya. Kita berdoa kepada Allah SWT untuk memberikan kita semua segala kekuatan dalam menghadapi zaman yang sukar ini dengan penuh tabah dan beristiqamah serta dibimbing kita dengan segala taufik dan hidayah-Nya,” katanya.

Muhyiddin menyeru semua ahli parti itu merapatkan saf bersamanya untuk terus memperkukuhkan kerajaan yang dibina demi masa depan Malaysia yang lebih aman dan sejahtera. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *