Macau Scam: Wanita Rugi RM355,000, Lapan Diberkas Di Sandakan

Gambar Ihsan Polis Daerah Sandakan

SANDAKAN, 29 Mei: Polis menahan tujuh lelaki dan seorang wanita disyaki terlibat menipu seorang wanita tempatan di sini sebanyak RM355,000.

Ketua Polis Daerah Sandakan ACP Mohd Azhar Hamin berkata suspek warga tempatan berumur 26 hingga 51 tahun itu diberkas dalam beberapa siri operasi berkaitan kes ‘macau scam’ itu sejak dua hari lepas di sekitar daerah ini.

Gambar Ihsan Polis Daerah Sandakan

Lapan unit telefon bimbit, 46 keping kad ATM, wang tunai bernilai RM7,138 dan satu cop syarikat serta tujuh keping simkad dirampas dalam serbuan itu.

“Mangsa seorang kerani sebuah syarikat swasta di sini menerima panggilan telefon pada 27 April lepas menyatakan telah melakukan kesalahan dengan mengirim barang yang tidak dibenarkan melalui pos.

“Mangsa kemudiannya diminta berhubung dengan balai polis di Ipoh untuk menyelesaikan kes tersebut dan diminta memasukkan sejumlah wang ke beberapa akaun untuk menyelesaikan kes, yang mana mangsa akur dan menurut permintaan suspek,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Gambar Ihsan Polis Daerah Sandakan

Mohd Azhar berkata mangsa bertindak membuat laporan polis mengenai kes itu di Balai Polis Sandakan pada 14 Mei lepas setelah menyedari diperdaya.

Semua suspek kini direman dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, katanya. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *