Kawasan Parkir Pusat Beli Belah Ikea Di Jerman Dijadikan Ruang Solat Aidilfitri

Gambar dari udara menunjukkan jemaah solat sunat Aidilfitri di tempat letak kenderaan Ikea di Wetzlar. – Foto Google

Frankfurt: Sebuah masjid di Wetzlar dekat sini, tampil dengan idea menjadikan tempat letak kenderaan gedung perabot Ikea sebagai lokasi bagi menunaikan solat sunat Aidilfitri.

Pemilihan tapak itu bagi membolehkan jemaah bersolat mengikut penjarakan sosial bagi mengekang penularan Covid-19.

BBC News melaporkan sekitar 800 umat Islam bersolat di tapak terbuka itu pada Ahad lalu, sebagai meraikan Syawal selepas berakhirnya Ramadan.

“Solat ini secara berjemaah membabitkan Muslim di Wetzlar (barat Jerman) ibarat ganjaran buat kami,” kata pengerusi masjid, Kadir Terzi.

Pemerintah Jerman membenarkan masjid dan rumah ibadat dibuka namun, perlu mematuhi peraturan ditetapkan dalam mengekang penyebaran wabak koronavirus.

Menurut Kadir, pihaknya menghubungi Ikea minggu lalu dalam usaha mencari kemudahan alternatif lain bagi membolehkan solat dilaksana mengikut peraturan.

Ketika itu, dia juga tidak berharap menerima maklum balas positif daripada pengurusan gedung perabot berkenaan.

“Namun, pengurusnya langsung tidak keberatan memberi kebenaran dan beritahu ‘ya, awak boleh bersolat di situ’. Saya terkejut dan dalam masa sama sangat gembira,” katanya yang menguruskan perkara itu bersama jawatankuasa masjid.

Gambar jemaah bersolat di tempat letak kenderaan terbabit dikongsi di media sosial dan mendapat reaksi pelbagai masyarakat dunia.- Agensi

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Info Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *