“Bersemuka Dengan Saya, Jangan Berani Fitnah Sahaja” – Malanjum

Tan Sri Richard Malanjum

KOTA KINABALU: Bekas Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum mencabar dalang di sebalik portal Sabahkini2.com tampil berdepan dengan beliau jika mahu mengetahui bagaimana Yayasan Osimal membantu kerajaan berdepan Covid-19.

Richard yang juga Pengerusi Yayasan Osimal berkata, laporan yang dikeluarkan portal berkenaan adalah fitnah dan penipuan nyata yang dibuat-buat bertujuan menimbulkan kekeliruan orang awam.

Katanya, bukan mudah untuk menjawab fitnah seperti itu, justeru jika dalang di sebalik artikel tersebut tampil, beliau bersedia untuk bersemuka dan menunjukkan dokumen serta akaun milik yayasan itu yang merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Itu betul-betul penipuan, tidak adil apabila mereka hanya mereka-reka  cerita kalau mahu kami boleh tunjukkan kalau betul ikhlas datang dan tengok sendiri akaun kami boleh tunjukkan semuanya kalau mahu kepastian, mana ada kontrak, macam mana mahu jawab benda tipu begitu, kita tidak boleh jawab paling boleh pun nafi.

“Persoalan sekarang itu fitnah kalau kami tahu siapa di belakang kita boleh tunjukkan tetapi mereka juga takut, baling batu sembunyi tangan,” katanya ketika dihubungi Borneo Today.

Semalam, portal tersebut mengeluarkan sebuah artikel berunsur tuduhan mendakwa Yayasan Osimal mendapat kontrak daripada kerajaan untuk membeli kit ujian Covid-19 dari Singapura.

Portal berkenaan turut menimbulkan persoalan kononnya yayasan berkenaan menjadi tempat untuk Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal ‘menyimpan’ wang untuk digunakan memandangkan kedua-dua pemimpin didakwa mempunyai hubungan baik.

Richard berkata, beliau tampil membantu Kerajaan Sabah sebagai kerja-kerja amal melalui yayasan berkenaan kerana sedar kerajaan negeri amat memerlukan bantuan dalam menangani penularan wabak Covid-19 di negeri ini.

Tegas beliau, Yayasan Osimal berperanan sebagai penyelaras sahaja bukannya mewakili pihak kerajaan apatah lagi kononnya mendapat kontrak serta meraih untung daripada projek membeli kit ujian berkenaan.

“Itulah saya mahu tolong saja, kalau kita tidak tolong siapa mahu tolong, saya tidak tahu bila ini kerja-kerja amal jadi satu kesalahan pula, mana boleh.

“Kami cuma membantu menjadi penyelaras dan disebabkan itu mereka kata ada untung tidak boleh begitu, tiada setitik pun untung sebab kami cuma jadi perantara dan sudah tentu jika ada duit kami pakai kerajaan cakap mereka bayar balik sebab duit kami dahulukan, kami bukan kerajaan macam mana kami boleh bayar bagi pihak kerajaan,” tegas beliau.

Tambah Richard, satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Karamunsing hari ini dan beliau juga bersedia menyaman portal berkenaan bagi menegakkan kebenaran. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Info Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *