Percepatkan Pembinaan Balai Bomba Telupid

Abdul Rahman Datuk Kongkawang

BELURAN: Pembinaan sebuah balai bomba dan penyelamat di Telupid perlu disegerakan bagi memastikan masyarakat di daerah itu tidak mengalami kerugian setiap kali berlakunya kebakaran pada masa depan.

Pada Ogos tahun lepas, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin telah mengumumkan balai bomba akan dibina di Telupid bermula tahun ini tetapi masih belum direalisasikan sedangkan tapak tanah menempatkan balai bomba itu telah disediakan.

Kejadian Ahad lepas yang memusnahkan sederet bangunan menempatkan enam lot kedai di Kampung Gambaron 1, membuktikan kepentingan balai bomba di kawasan amat diperlukan oleh masyarakat daerah Telupid.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Labuk, Abdul Rahman Datuk Kongkawang berkata kita sudah sedia maklum di mana kelulusan bagi pembinaan balai bomba dan penyelamat Telupid telah diluluskan oleh Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan.

“Namun kebakaran yang memusnahkan bangunan kedai enam lot di Kampung Gambaron 1 merupakan mesej jelas keperluan mendesak pembinaan balai bomba dan penyelamat bagi daerah Telupid wajar disegerakan,” katanya.

Beliau mendesak pembinaan balai bomba dan penyelamat perlu disegerakan dalam menangani kebakaran di daerah itu.

“Balai bomba dan penyelamat yang ada terletak di pekan Beluran terpaksa mengambil masa dalam untuk sampai ke lokasi kebakaran untuk melakukan pemadam. Kebakaran yang berlaku menyebabkan kerugian besar.

“Saya tidak mahu salahkan pasukan bomba daerah Beluran yang datang lambat kerana lokasi kebakaran yang terletak jauh lebih kurang 100 kilometer dari balai bomba,” katanya.

Abdul Rahman berkata Kerajaan Persekutuan yang bertanggungjawab berhubung perkara ini sewajarnya mendengar rintihan rakyat daerah Telupid yang amat memerlukan sebuah balai bomba dan penyelamat dibina dengan cepat.

“Daerah Telupid mempunyai 39 buah kampung dengan melebihi 10 ribu penduduk dengan memiliki pekan yang kini pesat membangun dengan bangunan-bangunan kedai, pasar raya, kemudahan perbankan, dua stesen minyak dan bangunan-bangunan kerajaan,” katanya.

Beliau memberitahu kedudukan daerah Telupid juga bersempadan dengan daerah Tongod dan laluan utama penghubung pantai timur-pantai barat, pembinaan balai bomba dan penyelamat di pekan Telupid merupakan lokasi yang strategik.- Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Info Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *