Kontrak Pemain Skuad Piala Presiden, Belia Akan Ditamatkan

KOTA KINABALU: Kontrak kesemua pemain skuad Piala Presiden dan Piala Belia Sabah akan ditamatkan pada Jun ini.

Ia susulan keputusan Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) yang bersetuju agar dua kejohanan itu ditiadakan tahun ini berikutan penularan wabak Covid-19 yang melanda negara ketika ini.

Masih berpeluang bermain

“Kami telah memutuskan perkara ini iaitu kontrak mereka (pemain Piala Presiden dan Belia) diberhentikan serta-merta pada Jun ini.

“Bagaimanapun, para pemain dua kejohanan itu akan tetap diberi peluang untuk kembali beraksi bersama pasukan sekiranya mereka masih mahu bermain pada tahun depan.

“Sekarang ini pun ada di kalangan mereka yang telah pulang ke rumah masing-masing dan kita harapkan usaha bakat-bakat muda ini tidak akan terhenti, teruskan usaha dan kekalkan kecergasan diri masing-masing, mudah-mudahan tahun depan mereka dapat beraksi lagi,” kata presiden SAFA, Datuk Peter Anthony, di sini, kelmarin.

Tunggu keputusan FAM

Sementara itu, Peter berkata pihak SAFA juga masih menunggu keputusan daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sama ada Liga Super akan diteruskan atau tidak.

“Buat masa ini kesemua pemain juga masih menjalani latihan kecergasan di kediaman masing-masing.

“Secara dasarnya apa yang kami difahamkan liga mungkin diteruskan pada September atau Oktober tapi kami akan tunggu keputusan daripada FAM sebelum sebarang keputusan daripada pihak kami dibuat,” katanya. – Berita Sabah

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Info Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *