Najib Persoal Tindakan Sabah Tawar Pusat Kuarantin Teruk Kepada Kerajaan Persekutuan

Bekas Perdana Menteri, Najib Razak

PETALING JAYA: Najib Razak hari ini mengkritik kerajaan Sabah berhubung isu pusat kuarantin di negeri itu, mempersoalkan kenapa pusat berkenaan yang dikatakan tidak diuruskan dengan baik ditawarkan kepada kerajaan persekutuan.

Bekas perdana menteri itu di Facebook berkata isu itu yang dibangkitkan MCA Sabah bukan perkara baru kerana banyak aduan mengenai keadaan pusat kuarantin di Kota Kinabalu sejak awal bulan.

“Jika kerajaan Sabah dah tahu pusat kuarantin itu teruk, kenapa kerajaan Sabah masih tawarkan kepada kerajaan persekutuan?

“Apa kebodohan ini? Lalu kamu nak salahkan kerajaan persekutuan kerana menerima tawaran Sabah?”

Najib menjawab John Wong, pegawai kepada Ahli Parlimen Kota Kinabalu DAP Chan Foong Hin, yang baru-baru ini berkata semua pusat kuarantin diwarta dan diuruskan Putrajaya.

Wong, menjawab kritikan ketua wanita MCA Sabah, Pamela Yong, akui pusat kuarantin di Kompleks Sukan Likas, yang dikritik di media sosial, dicadangkan dan disediakan kerajaan negeri.

Namun, katanya, keputusan untuk menggunakan pusat itu terserah pada kerajaan persekutuan. Beliau juga berkata pihak berkuasa persekutuan utama yang bertanggungjawab menguruskan Covid-19 dan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan adalah Kementerian Kesihatan.

Yong membangkitkan mengenai beberapa rungutan pengguna media sosial termasuk gangguan air yang kerap, ketiadaan dispenser sabun tangan di tandas, tandas yang tidak dijaga dengan baik, dan tiada pembersihan kerap atau penyahjangkit di pusat berkenaan.

Najib juga memuat naik video mengkritik keadaan di pusat yang dijawab Chan di Facebook pada 2 April. Dalam hantaran itu yang menerima lebih 1,200 komen, Chan berkata pusat itu disediakan kerajaan pusat, bukan negeri.

Beliau juga berkata pusat itu yang mendapat lampu hijau oleh Jabatan Kesihatan Sabah, agensi persekutuan bawah kementerian.

Bagaimanapun, Najib berkata banyak komen mengkritik Chan.

“Sekarang dah hampir 2 bulan sejak isu ini ditimbulkan.” tambahnya.

“Dua bulan dahulu, ahli Parlimen DAP ini dah tahu keadaan pusat kuarantin teruk tetapi nak salahkan kerajaan pusat.

“Selepas dikecam sekali lagi minggu lepas, ahli Parlimen ini masih mahu salahkan kerajaan pusat dengan memberi alasan yang menipu dan tak masuk akal.

“Kenapa tak gunakan tempoh 2 bulan itu untuk menyelesaikan masalah dengan mencari tempat yang lebih elok untuk memperbaiki pusat kuarantin yang sedia ada supaya warga Sabah berhenti mengadu?”

Beliau berkata perkara itu sepatutnya sudah dilaksanakan kerajaan negeri sekiranya ikhlas dalam usahanya.

“Jika kerajaan persekutuan tak mahu terima tempat yang lebih elok dan tegas untuk pilih pusat yang teruk, baru lah kamu ada hak nak salahkan kerajaan pusat,” tambahnya.- FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Info Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *