Litar Pintas, Dapur Memasak Disyaki Punca 5 Beranak Rentung Dalam Kebakaran Di Membakut

KOTA KINABALU: Kebakaran yang meragut nyawa lima beranak di Membakut pagi tadi mungkin berpunca daripada masalah pendawaian elektrik atau dapur memasak.

Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Kamarulzaman Malik Abdullah, kebakaran seperti itu biasanya berpunca daripada pendawaian elektrik atau dapur memasak.

Bagaimanapun, siasatan masih dijalankan dan laporan lengkap mengenai kejadian yang berlaku di Kampung Binsuluk dijangka siap dalam tempoh terdekat.

Seorang wanita dan empat orang anaknya ditemui rentung dalam kebakaran rumah yang berlaku pukul 2.30 pagi tadi.

Mangsa rentung ialah Aishah Awang Jumat, 58, bersama anak lelakinya iaitu Dzulkarnain Othman, 34, Dzulnisham, 27, Rozaini, 26 dan Rosdi, 24.

Dua lagi anaknya iaitu Dzulaika, 25, dan Zulkifli, 29, melecur dan kini sedang menerima rawatan di Hospital Beaufort, manakali suaminya, Othman Ali, 64, terselamat.

Bomba berjaya mengawal api kebakaran sekitar pukul 5 pagi.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Info Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *