Lari Tinggalkan Bakakuk & Peluru Elak Dicekup

Gambar Hiasan

BELURAN: Selaran senapang buatan sendiri (bakakuk) dan tiga butir peluru ditemui Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dalam sebuah bot tidak mempunyai nombor pendaftaran berhampiran hutan nipah di kawasan Sungai Beluran semalam.

Sebelum itu, bot APMM melakukan rondaan Op Pluto Timur dan kemudiannya terserempak dengan bot kayu dalam keadaan mencurigakan dari arah laut menuju ke pekan Beluran pada 11.06 pagi.

Difahamkan, bot berkenaan memecut laju ke arah hutan nipah ke dalam kawasan sungai terbabit sebaik menyedari kehadiran anggota APMM.

Pengarah Zon Maritim Sandakan Kepten Zainudin Mohd Zuki berkata, pengemudi bot berkenaan kemudiannya melarikan diri ke kawasan hutan berhampiran ketika bot berkenaan berjaya dihampiri anggotanya.

“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas bot kayu tidak bernombor itu, kami tidak menemui sebarang dokumen.

“Bot yang menggunakan enjin 15 kuasa kuda itu diperiksa dan menemui senapang bakakuk dalam beg yang

diletakkan di bawah lapisan kayu bot berkenaan.

“Satu lagi beg kecil berisi tiga butir peluru dijumpai di tempat yang sama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, bot berkenaan kemudiannya dibawa ke Jeti Pos Maritim Beluran untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960.

“Pihak kami mengingatkan agar komuniti maritim sentiasa bekerjasama dengan pihak APMM dalam menyalurkan sebarang maklumat berkaitan dengan aktiviti menyalahi undang-undang atau kecemasan di laut.

“Semua pihak boleh menghubungi terus bilik operasi 24 jam Zon Maritim Sandakan di talian 089-229504 atau talian MERS 999,” katanya.- Harian Metro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Info Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *