Saya Setia Bersama Kepimpinan Shafie Apdal – Ben Chong

Ben Chong

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N2 Tanjung Kapor, Ben Chong menafikan khabar angin yang mengaitkan nama beliau antara 18 ADUN di Sabah yang berpaling tadah menyertai pembangkang.

Katanya, beliau akan terus setia bersama parti Warisan dan menyokong kepimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

“Tiada istilah ada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Blok Kerajaan Negeri Sabah yang akan berpaling tadah dan membiarkan pembangkang merampas mandat rakyat Sabah.

“Ini semua adalah taktik kotor pembangkang  yang tidak pernah berhenti menabur fitnah tanpa menghormati bulan Ramadan dan Hari Raya yang disambut oleh rakan-rakan yang beragama Islam,” katanya.

Ben yang juga

Pembantu Menteri Perdagangan dan Industri berkata demikian dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Ben, pihak pembangkang sepatutnya memperbanyakkan kerja untuk membantu rakyat Sabah yang kesusahan akibat impak Covid-19, bukannya terlalu bermain politik.

“Pembangkang di Sabah terutama UMNO  kelihatan amat kemaruk kuasa sehingga sanggup berilusi rampasan kuasa tampuk pemerintahan negeri Sabah akan berlaku.

“Jangan cakap tak serupa bikin, pandang cermin dahulu kerana kamu tidak mempunyai kekuatan berbuat demikian,” tegasnya sambil menambah, Pemuda UMNO Sabah seumpama Ayam Bertelur Sebiji, Riuh Sekampung.

Jangan memperbodohkan rakyat Sabah dengan mengatakan 19 ADUN sahaja yang hadir dalam Sidang Media Ketua Whip Kerajaan Negeri merangkap Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau baru-baru ini sebagai bukti Shafie kehilangan sokongan dari Wakil Rakyat Blok Kerajaan.

“Macam budak-budak, kita sibuk dengan tugasan menjaga rakyat sambil mengikut SOP yang ditetapkan oleh MKN dan pihak hotel – tidak boleh mengadakan sidang media dalam kelompok yang besar – mereka tuduh sudah tidak sokong Shafie.

“Bila kita hadir dalam kelompok yang besar seperti semasa persidangan DUN baru-baru ni, mereka kata pulak kami langgar SOP MKN,” ujar beliau.

Sebagai pemimpin, mereka sepatutnya lebih matang dalam mengeluarkan kenyataan. Namun, Inilah kualiti yang ada pada UMNO Sabah.

Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Warisan itu turut membidas kenyataan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar yang disifatkan sebagai cakap kosong dan tiada fakta.

Sebagai seorang pemimpin yang mengetuai UMNO di Sabah, Bung sepatutnya mengutarakan hujah yang berfakta bagaimana pembangkang boleh mengambil alih kerajaan negeri.

Walaubagaimanapun, menurut Ben, kenyataan Bung amat jelas menunjukkan UMNO dan pembangkang pada hakikatnya tidak berkemampuan untuk menumbangkan kerajaan negeri Sabah.

“Semua orang tahu ketegasan Bung namun kenyataan beliau di Media baru-baru ini jelas menunjukkan tiada fakta yang jelas selain daripada bermain dengan budaya melompat umpama katak di Sabah dan kononnya mereka mempunyai strategi,” kata Ben.

Apa yang pasti, kerajaan negeri kukuh dengan 43 kerusi (tidak termasuk 5 ADUN Lantikan) berbanding dengan pembangkang 17 amat jauh berbeza dengan senario di Johor, Melaka, Perak dan Kedah.

“Tambahan pulak, UMNO dan pembangkang Sabah sepatutnya lebih risau dengan Kedudukan Kerajaan Persekutuan yang amat goyah dengan majoriti yang tipis,” kata Ben.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Info Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *