Polis Tahan Warga Asing Mengamuk

Pasukan polis menjalankan siasatan di lokasi kejadian suspek mengamuk di Kampung Sungai, Bangat, Labuan (gambar kecil, senjata yang digunakan suspek).

LABUAN: Seorang lelaki yang mengamuk di sebuah rumah di Kampung Sungai Bangat, di sini, ditahan selepas mengugut cuba menikam anggota polis, kelmarin.

Dalam kejadian jam 9.45 malam itu, lelaki berusia 29 tahun terbabit cuba ditenangkan serta diarahkan menyerah diri namun enggan dan terus bertindak agresif.

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Muhamad Farid Ahmad berkata, polis kemudian melakukan serbuan mengejut ke dalam rumah berkenaan sebelum berjaya menangkap suspek.

Katanya, pihaknya turut berjaya merampas sebilah pisau yang dipegang oleh suspek ketika mengamuk dalam kejadian berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut di dalam bilik tempat tinggal suspek turut menemui sebilah pedang samurai berhulu besi berukuran panjang 110 sentimeter.

“Siasatan awal mendapati suspek tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah dan dipercayai warganegara Indonesia,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Muhammad Farid berkata, suspek bersama barang-barang rampasan kemudiannya dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan bagi kesalahan ugutan jenayah menggunakan pisau dan jika disabitkan kesalahan boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga tempoh tujuh tahun.

“Selain itu, kes turut disiasat mengikut Seksyen 7(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan Dan Letupan Dan Senjata Berbahaya 1958 kerana memiliki sebilah samurai iaitu senjata berbahaya seperti yang dinyatakan dalam Jadual Kedua. – Berita Harian

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Info Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *