1,272 Anggota Polis Kota Kinabalu Bertugas Pantau Pematuhan SOP Aidilfitri

KOTA KINABALU, 22 Mei: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu menugaskan seramai 1,272 anggota untuk memantau aktiviti sambutan Aidilfitri, bagi memastikan penduduk sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan Sabah sepanjang musim perayaan itu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Habibi Majinji berkata kesemua anggota akan digerakkan mulai esok dengan hampir 30 pasukan pemantau ditempatkan di seluruh bandar raya ini termasuk di Inanam, Manggatal dan Pulau Gaya.

“Pemantauan akan dikuatkuasakan mulai esok. Ini untuk memastikan penduduk mematuhi SOP ditetapkan kerajaan negeri sebagai usaha membasmi penularan COVID-19,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata Sekatan Jalan Raya (SJR) di sekitar Kota Kinabalu juga akan dikurangkan kepada dua SJR sahaja melibatkan jalan masuk utama ke pusat bandar bagi memudahkan anggota membuat pemantauan SOP.

Mengulas lanjut, Habibi berkata kes jenayah indeks di Kota Kinabalu menurun sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan iaitu sebanyak 51.52 peratus bermula 18 Mac hingga 15 Mei berbanding tempoh sama pada tahun lepas.

Dalam tempoh PKP juga, polis Kota Kinabalu turut menangkap seramai 166 individu atas pelbagai kesalahan jenayah termasuk membekal dan memiliki dadah serta terlibat dalam penyalahgunaan dadah dengan jumlah rampasan dianggarkan bernilai RM137,393.60, katanya. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Info Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *