Tuan Rumah Akan Ditahan Jika Terima Lebih Tetamu

ALOR GAJAH: Polis Melaka tidak akan berkompromi dengan mana-mana pemilik kediaman yang menerima tetamu melebihi had dibenarkan.

Ketua Polis negeri, Datuk Mat Kasim Karim, berkata pihaknya menerusi 94 Petugas Pemantau yang dilantik akan melakukan rondaan secara berterusan di semua kawasan taman perumahan dan kampung di negeri ini bagi mengelakkan pelanggaran arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Katanya, pasukan pemantau itu juga akan mengunjungi kediaman yang didapati meragukan menerusi keadaan yang difikirkan wajar, termasuk apabila mempunyai kenderaan yang banyak di sekitar rumah mereka.

“Kita tidak akan berkompromi dalam perkara ini, malah akan bertindak tegas kepada mereka yang ingkar arahan termasuk membawa tuan rumah ke balai polis untuk diambil tindakan.

“Kita sudah memberi amaran awal, jangan ada yang marah atau tidak berpuas hati jika ditangkap nanti,” katanya selepas meninjau Sekatan Jalan Raya (SJR) di Plaza Tol Simpang Ampat, di sini malam tadi.

Mat Kasim berkata, tidak dinafikan ada antara individu yang berusaha menipu pihak berkuasa untuk pulang ke kampung dengan memaklumkan mereka hanya merentas daerah, memandangkan aktiviti itu dibenarkan sepanjang tempoh PKPB.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya yakin usaha itu tidak akan berhasil kerana SJR di pintu keluar dan masuk negeri itu terutama di plaza tol akan diperketatkan khususnya pada musim perayaan ini.

“Melaka adalah sebuah negeri yang kecil dan kebanyakan pengguna jalan raya cenderung memilih laluan Persekutuan berbanding lebuh raya dengan mengambil kira faktor jarak antara daerah yang dekat.

“Justeru, kita akan pastikan mereka ini mematuhi dan mempunyai kebenaran atau permit untuk merentas negeri.

“Janganlah nak cuba-cuba nak melintasinya tanpa sebarang alasan yang kukuh, ‘sayang’ duit untuk bayar (kompaun) RM1,000 tu, lebih baik digunakan untuk berhari raya,” katanya.

Mat Kasim berkata, ketika ini lapan SJR yang membabitkan seramai 505 pegawai dan anggota, dilaksanakan di negeri itu termasuk di laluan persisir pantai bagi mengekang cubaan penyeludupan keluar dan masuk pendatang asing tanpa izin (PATI) yang menggunakan beberapa laluan laut.

Katanya, turut diambil perhatian adalah premis tumpuan ramai menjelang Aidilfitri seperti pasar awam, pasar basah dan pasar raya.

“Pasukan pemantau juga akan ditempatkan di pasar raya dan pasar awam di negeri ini sepanjang musim perayaan ini bagi memastikan semua peniaga dan pengunjung mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya. – Berita Harian

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Info Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *