Peralihan Kerajaan Negeri Bakal Berlaku Di Sabah Dalam Masa Terdekat – Bung

Bung Moktar

Tidak banyak masalah untuk Warisan tumbang di Sabah – Bung Moktar

KUALA LUMPUR: Tidak banyak masalah dapat dilihat untuk menjatuhkan Kerajaan Negeri Sabah dibawah pimpinan Parti Warisan Sabah (Warisan), kata Pengerusi Perhubungan UMNO negeri itu, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Perkara itu, kata beliau, tidak mustahil akan berlaku selepas Pakatan Harapan (PH) hilang kuasa di Putrajaya selain politik Sabah cukup terkenal dengan tradisi lompat parti.

“Politik Sabah selalu berubah dan saya tidak menolak akan berlaku peralihan sokongan dalam kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di sini. Tambahan pula Sabah ini terkenal dengan politik lompat melompat.

“Mereka boleh beralih parti dan sokongan pada bila-bila masa sahaja dan tidak ada masalah besar untuk mereka (ADUN) beralih arah dari satu tempat ke satu tempat yang lain,” katanya kepada Astro AWANI pada Khamis.

Ditanya berhubung perbincangan pembentukan kerjasama antara beberapa parti tempatan termasuk PKR Sabah, Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan berkata, perkara itu ada dilakukan namun, masih secara tidak formal.

“Belum ada perbincangan secara rasmi berhubung hala tuju tetapi perbincangan secara tidak formal kita sudah adakan.

“Kita juga bersifat terbuka dan ruang juga diberikan untuk kita bincang serta fikir menjuruskan sesuatu perkara untuk matlamat sama dalam semua parti,” katanya.

Dalam pada itu, beliau juga menjangkakan perubahan itu bakal berlaku dalam masa terdekat.

“Politik ini penuh dengan starategi dan strategi itu telah berjalan cuma kita tidak boleh bagitahu strategi yang bagaimana. Cuma tunggu dalam masa sebulan dua lagi,” ujarnya.

Negeri Sabah menjadi antara negeri yang dilihat sebilangan pemerhati politik akan mengalami perubahan kerajaan neegeri selepas Kedah baru-baru ini.

Selain Kedah, Johor, Melaka dan Perak juga sebelum ini menyaksikan tumbangnya kerajaan yang diperintah oleh PH.

Negeri-negeri berkenaan kini diperintah oleh kerajaan Perikatan Nasional. – Astro Awani

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Info Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *